WARTAWAN PEMBANGUNAN MASYARAKAT BERTINDAK SEBAGAI WADAH SUMBER BERPENGETAHUAN

Oleh : Nur Adila Binti Aziz
           Siti Nurul Hidayah Binti Mat Nasir


Pengenalan

Siapakah wartawan? Sebagaimana yang anda tahu bahawa wartawan adalah seorang individu yang bertanggungjawab melaporkan sesuatu melalui penulisannya untuk disebarkan kepada masyarakat. Setiap wartawan mempunyai skop penulisan yang tersendiri. Disebabkan itulah ada yang bergelar wartawan hiburan, wartawan sukan, wartawan mahkamah dan sebagainya. Profession seorang wartawan dilihat sebagai satu profession yang sukar. Seseorang wartawan dianggap sebagai agen maklumat yang memerlukan pengorbanan dari segi masa dan tenaga mereka untuk mendapatkan berita-berita terbaru supaya dapat disiarkan kepada masyarakat.

Selain itu, menurut (Bentley et. al 2006), wartawan ialah seseorang yang berperanan untuk mengumpul, memproses, menyelidik, melapor, menganalisis dan menyiarkan berita dan maklumat dengan menggunakan pelbagai peralatan teknologi yang boleh diperoleh dengan kemudahan internet. Wartawan juga merupakan label popular yang digunakan untuk menggambarkan sejenis media yang melibatkan penglibatan pembaca yang sederhana.

Bagaimana seseorang wartawan dalam pembangunan masyarakat dapat bertindak sebagai wadah sumber pengetahuan? Seseorang wartawan berperanan sebagai wadah dalam penyampaian maklumat kepada masayarakat melalui pelbagai cara. Antaranya sebagai agen perubahan, pencetus idea dan minda, pemerhati dan penyelidik, wadah pengetahuan dalam ekonomi dan politik, dan sebagai penghibur. 

Peranan wartawan sebagai wadah penyampaian maklumat

Agen perubahan

Wartawan pembangunan bukan sekadar melaporkan peristiwa sehari-hari yang umum, tetapi turut bertindak sebagai agen perubahan yang melaporkan sesuatu lebih bertujuan membangunkan masyarakat. Agen perubahan merupakan kumpulan yang berupaya mempengaruhi secara informal, pendapat, sikap, dan tingkahlaku individu lain dalam masyarakat, (Fuziah Katini Hassan Basri, 2001). Dengan kata lain, agen perubahan bertindak untuk mengubah sikap masyarakat dari negetif kepada positif. Sebagai contoh, isu dadah dalam kalangan remaja pada masa kini yang semakin meningkat. Seperti yang dimaklumkan golongan remaja kini merupakan tonggak kepimpinan negara menjelang wawasan 2020. Oleh itu, peranan wartawan sangat penting dalam menyampaikan informasi terkini yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah. Wartawan boleh menggunakan saluran media elektronik seperti televisyen dan radio untuk memujuk dan mempengaruhi minda masyarakat supaya dapat menerima idea perubahan yang dilakukan. Contohnya, iklan “Wecareweserve” yang disiarkan di TV3 mengenai kesan penyalahgunaan dadah. Mesej yang cuba disampaikan kepada masyarakat berkenaan punca terjebak dengan pengambilan dadah yang boleh membawa kehancuran kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Jelaslah menunjukkan bahawa wartawan bukan sahaja bertindak sebagai agen perubahan kepada masyarakat dalam menyampaikan maklumat, tetapi mempengaruhi masyarakat untuk mengubah amalan, sikap dan tingakah laku mereka.

Pencetus minda dan pemikir

Wartawan juga berperanan sebagai pemikir, dan pencetus minda. Seorang pemikir dan pencetus minda, perlu mempunyai sumber pengetahuan yang sahih untuk disebarkan kepada masyarakat kerana ianya merupakan perkara yang sangat penting. Sebagai seorang wartawan professional, mereka haruslah mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam pelbagai aspek seperti ekonomi, pendidikan, sosial, sukan dan sebagainya sebelum melaorkan maklumat tersebut kepada masyarakat. Sebaliknya jika wartawan tersebut tidak mempunyai maklumat yang mendalam terhadap sesuatu isu akan menyebabkan mesej yang hendak disampaikan tidak difahami oleh masyarakat. Oleh itu, masyarakat sukar untuk menerima idea dan mengubah tingkah laku mereka, seumpama “ketam mengajar anaknya berjalan lurus”. Ilmu pengetahuan boleh diperolehi melalui pelbagai cara termasuklah pengalaman, pembelajaran, pertanyaan, perkongsian, penyelidikan dan sebagainya.

Seorang wartawan seharusnya melengkapi diri dengan pengetahuan yang mencukupi dalam membahas sesuatu maklumat yang bakal disampaikan kepada masyarakat melalui penulisannya. Dalam penulisan sesuatu berita, wartawan hendaklah menitikberatkan teknik penulisan berita yang betul dari sudut peletakan tajuk, ayat yang bombastik dan bahasa yang menarik. Hal ini bertujuan menarik perhatian masyarakat untuk membaca isu yang dibahas, memahami dan berfikir tentang mesej serta nilai berita yang cuba diangkat oleh wartawan.

Hiburan            

Wartawan mempunyai pelbagai kaedah untuk menyampaikan wadah maklumat kepada masyarakat melalui pelbagai saluran yang digunakan. Biasanya saluran yang mendapat tumpuan masyarakat ialah saluran media eletronik dan media baru. Majoriti masyarakat sekarang gemar menggunakan media ini daripada media tradisional kerana maklumat yang diperolehi lebih cepat disebarkan kepada masyarakat tidak mengira sempadan. Sebagai contoh, iklan PERTRONAS yang disiarkan oleh TV3 memberi banyak pengajaran kepada masyarakat tanpa mengira umur, kaum dan agama. Hal ini kerana, iklan yang disiarkan membawa makna yang mendalam tentang pengorbanan seorang ayah terhadap anaknya. Melalui iklan tersebut, iainya dapat menyedarkan masyarakat supaya menghormati ibu bapa.

Selain itu, rancangan yang disiarkan di beberapa stesen Televisyen seperti Pencetus Ummah, Dai’, Imam Muda dan sebagainya memberi banyak pendedahan kepada masyarakat tentang ilmu keagamaan. Hal ini kerana bentuk ceramah yang santai dapat menarik minat masyarakat untuk menonton rancangan tersebut. Program dakwah berbentuk hiburan ini lebih mendapat banyak sambutan daripada masyarakat luar kerana iainya tidak membosankan dan banyak maklumat baru yang didedahkan mengenai ilmu keagamaan. Secara tidak langsung, rancangan ini dapat membentuk minda masyarakat dan kecintaan terhadap agama.


Gambar hiasan sahaja

Pemerhati dan menyelidik

Seorang wartawan yang berkecenderungan menulis untuk membangunkan masyarakat sentiasa akan memerhati dan mengambil tahu serta menyelidik perkara-perkara yang boleh memberi kesan ke atas pembangunan masyarakat dalam pelbagai aspek. Wartawan yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam pelbagai bidang akan menghasilkan maklumat yang berkualiti disertakan dengan fakta yang sahih untuk disiarkan kepada masyarakat. Ini bermaksud ekspresi ataupun ilmu dalam penulisan dapat diwujudkan jika seseorang wartawan itu mempunyai prinsip dalaman yang kritis supaya dapat mengubah masyarakat hanya dengan melalui penulisannya. Sebelum menyiarkan sebarang berita kepada masyarakat, wartawan akan melakukan pemerhatian terlebih dahulu berkaitan sesuatu isu.

Selain itu, mereka juga akan menyelidik isu yang disiarkan supaya berita itu sahih, berfakta dan tepat. Contohnya isu yang berkaitan tanah runtuh Lebuhraya Karak ke Kuala Lumpur. Mereka akan membuat liputan secara langsung untuk mendapatkan maklumat mentah yang sahih daripada polis, bomba dan masyarakat setempat. Di samping itu, isu berkaitan dengan kejadian pesawat MH370 dan MH17 mendapat perhatian dan menjadi tanda tanya seluruh negara. Dengan adanya kerja keras daripada para wartawan, maklumat yang disampaikan dapat merungkai kejadian yang berlaku dan mengurangkan kebimbingan masyarakat seluruh negara. Hal ini kerana komitmen wartawan yang sanggup mengorbankan nyawa dan keselamatan untuk berlintas langsung di lokasi kejadian. 

Wadah pengetahuan dalam politik

Wartawan dalam pembangunan masyarakat jelas dilihat dapat bertindak sebagai wadah pengetahuan dalam politik. Masyarakat mempunyai hak untuk mengetahui segala perancangan tentang politik yang disusun atur oleh kerajaan untuk pembangunan masyarakat. Dalam menyampaikan maklumat berkaitan politik, wartawan seharusnya bersikap telus, dan tidak berat sebelah dalam melaporkan sesuatu berita. Ianya sangat penting khususnya dalam isu politik, ia mampu menjadi isu sensitif dan ada kalanya boleh menimbulkan perbalahan apabila penulisan tersebut berbaur hasutan, fitnah dan sebagainya.

Wartawan juga adalah rakyat biasa yang mempunyai kecenderungan untuk memihak kepada mana-mana pihak yang dirasakan betul. Dalam konteks politik, ianya bermaksud kecenderungan untuk menyebelahi kerajaan atau pembangkang. Justeru itu, laporan tentang sesuatu berita hendaklah diletakkan perkara berkaitan kepentingan masyarakat seiring dengan  kepentingan politik supaya terdapat keseimbangan dalam pelaporan serta boleh menjadi sumber pengetahuan yang berguna buat masyarakat.

Sebagai contoh, isu yang berkaitan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) 2014, wartawan akan berlintas langsung di tempat mengundi mengikut DUN dan Parlimen untuk memastikan rakyat mengetahui proses pengundian dengan lebih jelas. Wartawan juga akan melaporkan parti yang menang dan kalah dalam PRU tersebut. Jelaslah menunjukkan bahawa wartawan juga menjadi wadah penyampaian maklumat dalam politik dan pembangunan negara.

Wadah pengetahuan dalam ekonomi

Malaysia adalah sebuah negara yang sedang menuju ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi. Dalam konteks ekonomi, wartawan bertindak sebagai penyampai maklumat mengenai perancangan ekonomi yang disusun atur oleh kerajaan untuk pembangunan masyarakat. Contohnya, baru-baru ini Bajet 2014 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak menegaskan tentang pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST). Nyata ianya mendapat perhatian dan reaksi yang pelbagai daripada masyarakat. Masyarakat khususnya yang berpendapatan rendah merupakan golongan yang paling cepat merasai kesan pelaksanaan GST. Di sini, wartawan pembangunan dilihat memainkan dua peranan yang penting. Pertama, menyalurkan maklumat kepada masyarakat tentang apakah itu GST dan sebab kerajaan komited untuk melaksanakannya. Kedua, wartawan akan melaporkan kepada kerajaan tentang kesan GST tersebut ke atas masyarakat khususnya golongan berpendapatan rendah dengan menyampaikan luahan dan pandangan masyarakat kepada kerajaan supaya tindakan dapat dilakukan. Daripada tanggungjawab tersebut, wartawan pembagunan boleh juga diihat sebagai "double agent" berikutan khidmatnya kepada kedua-dua belah pihak. Bajet adalah salah satu perangkaan kerajaan dari segi pembangunan ekonomi dan sosial negara khususnya kepada masyarakat. Masyarakat akan sentiasa menerima maklumat yang telah disiarkan oleh wartawan dari semasa ke semasa. Dari situ juga, masyarakat bertindak sebagai “suara” masyarakat yang mana, wartawan turut menyampaikan pandangan, sokongan mahupun kritikan masyarakat ataupun diri sendiri berkaitan Bajet.

Kesimpulan

Kesimpulannya, wartawan adalah wadah penyampaian maklumat yang penting kepada masyarakat dan negara. Maklumat yang disampaikan bukan sahaja disebabkan tugas mereka tetapi mereka akan memastikan setiap maklumat yang disiarkan dapat memberi pengetahuan, mendidik dan kesedaran kepada masyarakat.

Share on Google Plus

About Ekspresi 18

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment

0 komen anda :):

Journalism for Social Change

UCAPAN PEMBENTANGAN BAJET 2016