Oleh:
Nurul A'yuni Binti Ahmad
Kemajuan negara adalah perkara yang paling
diidamkan oleh sesebuah negara dan rakyatnya. Dalam memastikan kemajuan
dicapai, kebajikan rakyat merupakan satu kemestian yang perlu dijaga oleh pihak
kerajaan dan ianya dapat dilihat melalui peruntukan bajet negara. Semua orang
akan mendapat mendapat manfaat tertentu dalam bajet 2016 terutama golongan berpendapatan
rendah.
Bajet negara berperanan untuk mengurangkan
kesusahan rakyat dengan memberi manfaat tertentu kepada setiap orang. Melalui
bajet juga, rakyat dapat melihat perancangan kerajaan dalam mentadbir negara
sepanjang tempoh yang diberi. Ekonomi negara juga dapat ditingkatkan melalui
bajet kerana melalui bajet, segala pelan tindakan dalam menjana ekonomi telah
dinyatakan.
Menerusi bajet 2016, kerajaan telah merangka
beberapa manfaat dalam setiap bidang untuk memastikan negara mencapai status negara
maju menjelang tahun 2020. Bajet 2016 yang telah dibentangkan oleh perdana
menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak di ibu kota Kuala Lumpur,
menyatakan bahawa salah satu fokus bajet adalah usaha menjaga kebajikan rakyat.
Penambahbaikan pengangkutan dan infrastruktur merupakan salah satu perancangan
kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.
Menurut beliau, kerajaan akan memperkasakan lagi
sektor pengangkutan awam di Malaysia hingga menjadi salah satu sektor yang
boleh menjadi mercu kemajuan negara. Kerajaan menggalakan rakyat menggunakan
pengangkutan awam kerana ia mampu menjimatkan kos perbelanjaan rakyat dan
sekaligus membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat. Dengan menggunakan
pengangkutan awam juga, ia dapat merungkai kepadatan penduduk di
satu-satu tempat terutama di lebuh raya yang sentiasa sesak dengan
kenderaan yang bertali arus setiap masa.
Menerusi bajet 2016, kehidupan rakyat di bandar
akan dimudahkan iaitu dengan menggunakan pengangkutan awam dan sekaligus
membantu memelihara alam sekitar daripada pencemaran alam sekitar. Negara
bersiap sedia melebarkan sayap dalam memperkasakan sektor pengangkutan awam
agar setaraf dengan negara maju lain.
Kepesatan pembangunan dinilai bersandarkan faktor
kualiti dan kecekapan pengangkutan awam. Ledakan kemajuan sektor pengangkutan
awam mutakhir ini antara lain rancak dibangunkan dalam kalangan negara di
rantau Asia seperti Indonesia dan India sekaligus menandakan zaman revolusi ke
arah corak kehidupan rakyat negara maju.
Dalam pembentangan bajet 2016, Datuk Seri Najib Tun
Razak mengumumkan bahawa kerajaan akan menambah baik dan membina jaringan
pengankutan rel serta lebuhraya. Untuk mengurangkan kesesakan jalan raya,
kerajaan akan memperuntukan sejumlah kos untuk membina projek sambungan Transit
Aliran Ringan (LRT) di tempat-tempat tumpuan yang mempunyai kepadatan penduduk
yang tinggi. Ia akan dilaksanakan secara kerjasama strategik awam-swasta.
Demi keselesaan penduduk di kawasan luar bandar,
kerajaan akan menaiktaraf liputan jalan di luar bandar di seluruh negara dan
juga di penempatan Felda. Ini bagi membolehkan kawasan luar bandar turut
menikmati kemajuan dan berusaha untuk menjadi salah satu tempat tarikan
pelancong. Kerajaan juga memperuntukan sejumlah kos bagi projek Kenderaaan Bas Mara
untuk pengendalian pengangkutan bas di laluan tidak ekonomik di luar bandar.
Harapan Bajet 2016
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak, beliau mengharapkan agar semua rakyat gembira dan bersetuju dengan bajet
yang dikemukakan. Bajet dirancang dengan sebaiknya selari dengan keadaan
ekonomi yang sangat mencabar menyebabkan penurunan mendadak harga minyak mentah
dan penyusutan ringgit.
Meskipun keadaan sukar, namun kerajaan mempunyai
visi, pelan, dan sumber untuk menyampaikan manfaat kepada rakyat. Beliau juga
berkata bajet dijangkakan mendapat respon positif daripada anggota parlimen dan
rakyat memandangkan ia merupakan bajet mesra rakyat.
|
0 komen anda :):
Post a Comment