Pembungkusan “Sambal Daging Kak Dah” untuk
bungkusan RM10.
Serunding daging atau lebih dikenali sebagai
“sambal daging” bagi masyarakat Kelantan merupakan sejenis makanan warisan
nenek moyang penduduk di sekitar Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.
Kira-kira seramai 60 orang usahawan tempatan
menjalankan perniagaan serunding di Kampung Laut yang terletak berdekatan
Sungai Kelantan. Perusahaan Serunding Kampung Laut terkenal di seluruh negara
kerana keaslian dan keenakannya yang tersendiri. Resipi istimewa yang diwarisi
dari generasi ke generasi tersebut masih mengekalkan rasa.
Sehubungan itu, Kampung Laut diberi jolokan
sebagai sebuah perkampungan serunding ekoran populariti yang dikecapi hasil
usaha perusahaan produk tersebut sama ada secara kecil-kecilan atau secara
komersial.
Selain pasaran di Kelantan, serunding asli
keluaran Kampung Laut kini dipasarkan ke negeri lain termasuk di
Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kedah malah sudah sampai ke pasaran luar
negara seperti Arab Saudi dan Jepun.
Kekal kaedah tradisional masakan serunding
Proses pembuatan serunding asli mengambil masa
hampir sehari bagi sekawah serunding. Proses awalan bermula dengan merebus
daging yang mengambil masa enam hingga tujuh jam, kemudiannya proses mencarik
daging, menumis dan memasak secara tradisional dikekalkan bagi membolehkan
makanan ini bertahan selama satu tahun. Campuran ramuan rempah-ratus dimasak
terlebih dahulu sebelum diadunkan dengan daging dan selepas adunan benar-benar
masak, baru ia dikeringkan.
Pengusaha Serunding “Sambal Daging Kak Dah”,
Rafidah Wan Ismail adalah merupakan salah seorang pengusaha yang terkenal di
Kampung Laut. Perusahaan tersebut pada asalnya dijalankan oleh bapanya iaitu
Wan Ismail, namun setelah bapanya bersara maka, anak-anaknya telah meneruskan
perusahaan tersebut.
Antara serunding yang dihasilkan adalah
serunding daging, serunding ayam dan serunding ikan. Keistimewaan “Sambal
Daging Kak Dah” terletak pada ramuan rempah-ratusnya yang sedikit pedas.
Dalam pada itu, perusahaan serunding keluarga
Wan Ismail mampu menghasilkan 100 kilogram serunding setiap hari untuk
dipasarkan ke seluruh negara.
Pembungkusan serunding daging, ayam dan ikan
boleh didapati dalam bungkusan 250 gram, 500 gram dan satu kilogram. Harga
untuk sekilogram serunding daging tempatan adalah RM54, serunding daging import
RM44, serunding ayam RM42 dan serunding ikan RM36. Namun, harga sekilogram
untuk setiap jenis serunding adalah berbeza-beza.
Menurut Rafidah Wan Ismail, perusahaan serunding
mampu menjana pendapatan yang lumayan kerana permintaan pasaran terhadap
serunding amat memberangsangkan dan ianya akan meningkat tiga kali ganda
apabila tibanya musim perayaan.
Tambahnya lagi, serunding adalah sejenis makanan
yang tahan lama dan amat sesuai jika dibawa untuk merantau ke luar negara.
“Saya tetap memilih cara penyediaan tradisional
walaupun masa yang diambil terlalu lama berbanding menggunakan peralatan moden
kerana serunding yang dihasilkan menggunakan kaedah tradisional rasanya lebih
sedap dan boleh tahan lebih lama. Ianya diakui kebanyakan pelanggan saya yang
membeli serunding di sini," katanya.
Menurut salah seorang pelanggan daripada Perak,
Noor Fartin Azmi, “Sambal Daging Kak Dah” merupakan serunding yang wajib dibeli
sebelum pulang ke kampung kerana serunding tersebut mempunyai keenakan dan rasa
yang berbeza selain mampu bertahan lama.
Ramai pengusaha serunding di Kampung Laut
bersaing secara sihat untuk memasarkan perusahaan serunding warisan tradisional
mereka.
Bagi memajukan lagi perusahaan serunding
tempatan yang dijalankan secara kecil-kecilan di Kampung Laut, pelbagai latihan
pemasaran dan teknik pembungkusan yang moden telah dianjurkan oleh pihak
kerajaan terutamanya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan
Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Kaedah
tradisional masakan serunding mampu kekalkan keaslian dan keenakannya.
|
0 komen anda :):
Post a Comment