MURAL BUDAYA HIASI BANDAR SUNGAI PETANI

Oleh : Chen Kai Qi





Antara lukisan mural budaya di dinding Jalan Dewa.

Sungai Petani – Lebih 50 lukisan mural berjaya menghiasi dan menghidupkan bandar Sungai Petani terutamanya lorong suram di Jalan Dewa.

Kebanyakan lukisan mural dinding tersebut menonjolkan aktiviti tradisional dan budaya pelbagai kaum di negara kita.

Usaha melukis mural dinding ini dijalankan oleh Persatuan Cina Sungai Petani bersempena pesta tanglung pada September 19, 2015.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Karnival Pesta Tanglung peringkat negeri Kedah 2015, Linda Yee berkata, program seni mural ini merupakan program yang berjaya dilakukan bersempena pesta tanglung dengan menarik banyak pengunjung.

“Usaha ini bukan semata-mata untuk pesta tanglung sahaja, tetapi juga untuk mencantikkan bandar Sungai Petani.

“Tidak sampai dua minggu selepas mural dinding disiapkan, lebih 30,000 pengunjung mula memenuhi Jalan Dewa itu,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa usaha ini dapat memaparkan kebudayaan setempat melalui lukisan mural yang dihasilkan oleh penduduk Sungai Petani yang pelbagai kaum, dan juga dapat merancakkan ekonomi penduduk seterusnya menjadi tarikan utama pelancongan di Kedah.

Tawar diri kerana minat

Usaha melukis mural budaya dinding ini dijalankan secara gotong-royong dan kos perbelanjaan disumbang secara ikhlas oleh penduduk Sungai Petani.

“Lebih 70 pelukis tempatan pelbagai bangsa dan peringkat usia menawarkan diri untuk mencantikkan Jalan Dewa,” kata Linda Yee.

Pelajar Kejuruteraan Mekanikal Kolej Komuniti, Hong Kin Kean, 18, berkata, minat yang mendalam dalam bidang lukisan mural mendorongnya menawarkan diri menjadi sebahagian pelukis jalanan di Jalan Dewa.

“Saya minat dalam bidang lukisan sejak kecil dan saya berasa bangga untuk menghasilkan sesebuah mural untuk tatapan penduduk di Jalan Dewa.

“Apatah lagi, saya amat bersyukur kerana mempunyai satu peluang untuk menyumbang kepada masyarakat dan saya berasa amat gembira apabila mengetahui mural dinding di Jalan Dewa telah menjadi tarikan pelancongan,” katanya.

Sementara itu, pekerja kafe siber, Farid Mohd Haslam, 28, berkata, dia bersama dengan rakannya tidak melepaskan peluang menghasilkan lukisan abstrak pada dinding di Jalan Dewa.

“Melukis adalah hobi saya dan saya mendapat kepuasan diri yang sepenuhnya dengan hobi ini.

“Melalui lukisan tersebut, saya dapat sampai mesej yang saya ingin sampaikan kepada masyarakat. 
Saya memang puas hati dan seronok apabila melukis mural di kawasan berkenaan,” katanya.

Bagi penduduk yang juga tukang cat, Kang Heng Leng, 54, dia turut menyokong dan menyumbang usaha dalam program lukisan mural di kawasan tersebut.

“Saya boleh dianggap sebagai penduduk lama di bandar ini sejak 50 tahun lalu dan sesuatu yang membanggakan adalah bandar Sungai Petani ini diberi perhatian oleh kerajaan.

“Saya teruja dengan usaha ini yang berjaya menjadikan bandar ini antara pusat pelancongan di Kedah,” katanya. 


Imej baharu Jalan Dewa

Jalan Dewa berwajah baru.

Jalan Dewa sebelum ini merupakan lorong yang sunyi dan ditumpu oleh pemborong, peniaga dan penduduk tempatan. Selain itu, Jalan Dewa hanya menjadi laluan pejalan kaki untuk ke stesen teksi dan stesen bas lama di Jalan Petri sahaja.

Dengan program mural dinding tersebut, suasana lorong belakang deretan bangunan rumah kedai lama yang menjual pakaian, barangan plastik, farmasi dan kasut itu kini berjaya dimeriahkan oleh hasil kreativiti anak jati Sungai Petani yang cukup menarik.

Ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani, Ko Hung Weng berkata program lukisan mural budaya di dinding merupakan salah satu usaha dalam Program Transformasi Komuniti dan usaha ini berjaya mentransformasikan bandar Sungai Petani menjadi satu tarikan pelancongan yang baru di negara kita.

“Lukisan mural dinding ini bukan sahaja berjaya mengubahkan imej bandar Sungai Petani, tetapi juga menarik warga asing melancong di Sungai Petani dan mencetuskan tren pelancongan tempatan,” katanya.

Aktiviti ekonomi semakin rancak

Ekonomi di bandar Sungai Petani sebelum usaha lukisan mural kebanyakannya bergantung kepada penduduk tempatan dan peniaga asing sahaja. Selepas usaha lukisan mural tersebut, peningkatan ekonomi di bandar Sungai Petani adalah ternyata.

Pengurus besar Hotel Park Avenue Sungai Petani, Azmi berkata jumlah pelanggan telah meningkat sebanyak 15% pada sempena pesta Tanglung dan juga selepas usaha lukisan mural dinding. Menurut beliau, selepas kerajaan membekukan semua aktiviti yang diadakan di hotel pada bulan September tahun ini, banyak peniaga dan pemborong terpaksa membatalkan bilik dan hal ini menyebabkan  jumlah pelanggan telah merosot sebanyak 10 hingga 15%.

“Mujurlah terdapat aktiviti Mid-Autumn Karnival Sungai Petani dan juga kewujudan lukisan mural di Sungai Petani. Jadi, ramai pelancong dan warga asing tertarik datang melancong di Sungai Petani. Ini secara tidak langsung meningkatkan pelanggan di hotel,” katanya.

Selain itu, penjaja-penjaja di Jalan Dewa turut berpendapat bahawa perniagaan mereka bertambah baik selepas program lukisan mural budaya dinding tersebut. Kini, Jalan Dewa menjadi tumpuan pelancong yang datang ke Sungai Petani. 
Share on Google Plus

About Ekspresi 18

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment

0 komen anda :):

Journalism for Social Change

UCAPAN PEMBENTANGAN BAJET 2016