HOMESTAY JERUJU TARIKAN PENGUNJUNG

Oleh: Nur Farah Hanim Binti Ahmad


Menikmati suasana sawah padi sambil berehat.

Tanpa disangka keunikan dan keindahan serta budaya tradisional yang masih kekal di kampung mampu menjadi tarikan para pengunjung pada masa kini. Penginapan bersuasanakan desa yang permai lagi tenang di Homestay Kampung Jeruju kini menjadi pilihan pelancong luar bercuti bersama keluarga.

Kampung Jeruju terletak di kawasan Jerlun, 25 kilometer dari bandar Alor Setar. Kedudukan Kampung Jeruju yang berdekatan dengan laut menjadikannya tumpuan penduduk setempat mendapatkan ikan segar.

Kampung Jeruju diberi nama bersempena dengan nama pokok Jeruju yang tumbuh liar di sekitar kampung waktu dahulu. Pokok Jeruju digunakan oleh penduduk kampung untuk tujuan perubatan tradisional. Daun Jeruju dikatakan dapat mengawal aliran darah dalam badan dan turut dijadikan penawar bagi penyakit kencing manis.

Menurut Pengerusi Jawatan Kuasa Kampung (JKKK) Kampung Jeruju, Rosli Ahmad, penempatan asal Kampung Jeruju terletak di pinggir pantai. Namun disebabkan kejadiaan pasang surut air laut pada sekitar tahun 1985 maka berlaku hakisan pantai yang menjejaskan penempatan. Kemudian, penduduk kampung yang tinggal di persisiran pantai dipindah ke satu penempatan yang lebih selamat.

Walaupun pertanian merupakan aktiviti utama penduduk Kampung Jeruju, namun kini Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mula memberi bimbingan dan latihan kepada penduduk mengenai pembangunan industri pelancongan khususnya Homestay.

Homestay Jeruju yang pertama kali diwujudkan pada tahun 2000 merupakan salah satu daripada cetusan idea Kementerian Luar Bandar yang bertujuan untuk membantu penduduk desa menjana pendapatan di samping dapat memperkenalkan budaya perkampungan kepada pengunjung yang datang dari luar.

Homestay Kampung Jeruju terletak di tengah-tengah suasana kehijauan sawah padi yang berhampiran dengan keindahan laut mampu menarik perhatian pengunjung. Keindahan Homestay Kampung Jeruju dapat memberikan keseronokan dan ketenangan kepada pengunjung yang mengimpikan suasana desa yang aman lagi tenang.

Rumah Homestay yang lengkap dengan bilik tidur selesa, tandas, dapur dan ruang tamu yang luas memudahkan pengunjung berehat dan menikmati keindahan suasana desa. Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat pembuatan kuih tradisional seperti bahulu dan karas. Kampung Jeruju juga terkenal dengan keluaran sos cili, kicap dan kuah rojak disamping ternakan ikan keli.

Selain itu, kewujudan medan selera yang berhampiran dengan pinggir laut juga menarik minat pengunjung untuk menikmati pemandangan laut serta melihat matahari terbenam sambil menjamu selera. Medan selera tersebut diusahakan oleh penduduk tempatan dengan kerjasama pihak MADA bagi tujuan menjayakan lagi aktiviti Homestay di Kampung Jeruju.

Pakej Homestay Kampung Jeruju berpatutan berbanding tempat-tempat lain iaitu sekitar RM100 untuk semalam. Turut disediakan adalah pakej aktiviti kepada pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang datang merasai kehidupan kampung dan beriadah di sekitar Kampung Jeruju.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kampung, Ahmad Lam, Kampung Jeruju sering menjadi tumpuan utama rancangan televisyen tempatan untuk melakukan pengambaran seperti program Nasi Lemak Kopi O oleh stesen TV9. Selain itu, Kampung Jeruju juga sering menjadi tumpuan utama pelajar IPT melakukan aktiviti Khidmat Siswa dan program kemasyarakatan.

Pelajar Universiti Utara Malaysia merupakan pengunjung yang kerap menganjurkan program kemasyarakatan di Kampung Jeruju. Salah satunya adalah program lawatan dari Jepun sempena pertukaran pelajar program Komunikasi UUM dengan Chuo Univesity Tokyo, Jepun. Program selama lima hari tersebut menyediakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan untuk pelajar Jepun memahami budaya Melayu masyarakat yang wujud di Kampung Jeruju seperti majlis rewang, bermain wau dan turun ke sawah.



Pelajar berkumpul di sebuah rumah homestay sebaik tiba di kampung Jeruju.









Share on Google Plus

About Ekspresi 18

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment

0 komen anda :):

Journalism for Social Change

UCAPAN PEMBENTANGAN BAJET 2016