Rosmaida binti Zakaria
Pengenalan
Dunia
kewartawanan merupakan dunia yang penuh dengan cabaran, tidak semua orang mampu
mengalas tanggungjawab dan cabaran yang
sedemikian. Hanya sesetengah manusia sahaja yang berjaya menyahut cabaran
sedemikian rupa. Saban hari kita dapat melihat kehadiran lebih banyak bakat
baru dalam dunia kewartawanan semakin menonjol dengan jumlah peningkatannya semakin hari semakin
meningkat. Ini memperlihatkan bahawa bidang kewartawanan merupakan salah satu
profesion yang paling penting dalam menggerakkan sesebuah negara terutama sekali
dalam negara yang sedang membangun pada masa kini (Sulaiman Masri, 1997). Perkembangan bidang ini sedikit
sebanyak dapat membantu mengubah pandangan masyarakat dari bersifat negatif
kepada positif terhadap peranan wartawan. Pada hakikat sebenarnya, wartawan
bukan hanya sekadar menyampaikan maklumat kepada masyarakat tetapi menjadi
sumber penyampai ilmu yang utama bagi menggerakkan pemikiran dan tindakan
manusia dalam kehidupan seharian. Walaupun seorang wartawan
itu bebas menulis dan melaporkan, namun ianya tidak menghalang mereka untuk
terus mematuhi garis panduan yang ditetapkan dalam sesebuah karya yang
dihasilkan. Oleh itu, dalam memenuhi gelaran wartawan beretika, berita yang
disalurkan mestilah benar dan tidak menyentuh isu-isu sensitif yang boleh
menimbulkan ancaman terhadap mana-mana pihak. Secara langsungnya, wartawan sebenarnya
mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap masyarakat dalam pembangunan
negara.
Peranan wartawan dalam
pembangunan negara
i)
Sosial
Pertama
melalui aspek sosial, golongan wartawan dikatakan banyak memainkan peranan
dalam aspek ini terutama sekali sebagai
agen perubahan dalam masyarakat. Di sini, wartawan merupakan agen perubahan
kepada masyarakat kerana wartawan berperanan menyampaikan maklumat kepada
masyarakat. Segala maklumat yang disampaikan kepada masyarakat diharapkan dapat
mengubah tanggapan atau persepsi masyarakat dari negatif kepada positif. Oleh itu, wartawan
bukan hanya sebagai satu bidang kerjaya malahan lebih daripada itu dan perlu
melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Tugas wartawan di sini lebih tertumpu sebagai penyebar maklumat. Wartawan
pada hari ini lebih mudah dalam menyebarkan maklumat kerana terdapat pelbagai
jenis media yang dapat digunakan bagi mewujudkan masyarakat yang minat membaca
segala berita atau maklumat yang disebarkan oleh wartawan. Sebagai contoh,
melalui media elektronik, media cetak, dan media sosial. Semua bentuk media ini
merupakan media yang selalu diakses oleh masyarakat sekarang terutama sekali
media sosial. Hal ini berlaku kerana media sosial merupakan media yang
mempunyai capaian yang paling tinggi kerana lebih mudah diakses dengan begitu
pantas tanpa perlu keluar ke mana-mana iaitu dengan hanya menggunakan telefon
pintar sahaja masyarakat dapat mengetahui segala maklumat. Oleh itu, dunia
kewartawanan pada masa sekarang lebih kepada kepelbagaian kerana adanya capaian
media yang membantu mereka dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat untuk
berubah terutama sekali bagi mengetahui isu-isu semasa yang berlaku
disekeliling mereka.
Wartawan juga berperanan penting dalam mendidik masyarakat. Di sini, tugas
wartawan adalah untuk mendidik masyarakat supaya masyarakat dapat meningkatkan ilmu
pengetahuan melalui pembacaan berita yang disebarkan. Sebagai wartawan, pelbagai bentuk
bidang ilmu mampu dikongsikan kepada masyarakat seperti pengetahuan am, keselamatan
dan kesihatan. Contohnya, bidang ilmu dari segi kesihatan iaitu dengan
memberitahu cara-cara mengurangkan penyakit kencing manis dalam kalangan
masyarakat seperti selalu membuat senaman dan mendapat rawatan
sekurang-kurangnya satu bulan sekali. Ini secara tidak langsung, dapat mendidik
masyarakat secara tidak formal mengenai perkara yang berlaku di sekeliling
mereka. Wartawan juga bertanggungjawab untuk menyebarkan berita yang betul,
tepat dan sahih kepada masyarakat. Tetapi itu semua juga bergantung terhadap
wartawan sama ada mahu menyebarkan berita yang betul ataupun sahih. Pilihan ini
semua terletak pada diri mereka. Jika mereka menyebarkan berita yang tidak
sahih reputasinya sebagai wartawan akan dipandang rendah. Oleh itu, setiap penulisan
berita yang disebarkan haruslah sahih dan disertakan sekali dengan bukti yang
kukuh bagi menambahkan keyakinan masyarakat untuk membaca atau mendapatkan
maklumat yang disampaikan. Hal ini kerana, setiap maklumat yang disebarkan oleh
wartawan lebih bersifat memujuk dan mampu memberi kefahaman kepada masyarakat dengan
kepelbagaian penggunaan frasa dan grafik yang lebih menarik. Misalnya, terdapat
ruangan yang memerlukan masyarakat berfikiran secara kritis iaitu menyertai peraduan teka kata dalam Berita
Harian. Ini membantu masyarakat menambahkan ilmu pengetahuan dan pada masa yang
sama berpeluang mendapat hadiah berbentuk wang tunai.
Peranan wartawan yang seterusnya juga sebagai
telinga kepada masyarakat dalam mendengarkan luahan dan permasalahan mereka.
Wartawan turut merujuk kepada perantaraan yang berperanan mengetengahkan
permasalahan serta mendengar suara rakyat dalam menuntut hak mereka.
Tanggungjawab yang diamanahkan ini perlu dilaksanakan oleh mereka melalui penulisan dan penyebaran
berita. Berita yang ditulis oleh mereka dapat disebarkan melalui pelbagai alat
komunikasi yang mampu mempengaruhi dan meyakinkan pihak tertentu untuk
bertindak dalam menyelesaikan permasalahan yang dihadapi rakyat. Sebagai contoh, media sosial seperti Facebook
dan media massa iaitu surat khabar, radio dan televisyen (Sulaiman Masri, 1997). Di sini, masyarakat dapat mengutarakan masalah
yang dihadapi dan juga mengemukakan pendapat. Situasi ini secara tidak langsung
dapat meningkatkan tahap dan kualiti hidup masyarakat untuk lebih berani tampil
memperjuangkan sesuatu isu. Wartawan pada masa kini mempunyai pengaruh yang
kuat dalam memimpin dan menggerakkan suatu komuniti masyarakat untuk berada pada
tahap pemikiran kritis. Misalnya menggunakan penulisan sebagai medium
mengetengahkan pelbagai agenda kerajaan dalam membawa pembangunan kepada
masyarakat. Karya yang kritis dan penuh dengan penyampaian ilmu mampu
menyedarkan pemikiran, persepsi, tindakan, sikap dan pembuatan keputusan
masyarakat untuk berubah dalam mencapai arus Wawasan 2020.
ii)
Ekonomi
Kedua ialah aspek ekonomi.
Wartwanan memainkan peranan yang cukup penting dari sudut ekonomi ke arah
pembangunan sesebuah negara. Wartawan
bertindak sebagai penyampai berita kepada masyarakat untuk menyampaikan
maklumat berkaitan ekonomi negara kepada masyarakat. Hal ini kerana, masyarakat
perlu mengetahui keadaan ekonomi semasa untuk menjamin kesejahteraan sesebuah
negara. Di sini kita dapat melihat sejauh mana wartawan bertindak untuk
menyampaikan maklumat kepada khalayak. Ini kerana, semua maklumat yang
disampaikan mestilah mempunyai fakta yang kukuh dan tidak mengelirukan
masyarakat. Sebagai contoh, peranan
wartawan dari sudut ekonomi iaitu dengan memberitahu masyarakat tentang
kejatuhan nilai ringgit, penurunan perbelanjaan membeli dalam kalangan
pengguna, aktiviti perniagaan yang semakin berkurangan. Maklumat tersebut akan
memberi kesan kepada masyarakat dan mereka mula berfikir untuk melakukan
perubahan dengan menggurangkan kuasa pembelian. Hal ni kerana, cara penyampaian
yang digunakan mampu mempengaruhi masyarakat. Dalam pada itu juga, masalah
ekonomi yang dihadapi boleh meruntuhkan sesebuah institut negara jika
masyarakat tidak mengetahui masalah ekonomi yang dihadapi dalam negara pada
masa kini.
Tambahan pula, wartawan juga
berperanan dalam melaporkan isi kandungan atau ucapan penting berkaitan ekonomi
dalam pembentangan Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Dato' Sri
Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak pada 23 Oktober 2015. Pada pembentangan bajet
tersebut, wartawan akan mengangkat maklumat yang menjadi perhatian dan penting
kepada masyarakat seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), pelaksanaan Goods
Service and Tax (GST), dan pembelanjaan untuk
pembinaan infrastruktur serta kenaikan harga tol di Semenanjung tidak
termasuk Sabah dan Sarawak yang menjadi cemuhan masyarakat. Hal ini adalah
untuk mengelakkan berlakunya kekeliruan dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, wartawan
berperanan untuk menerangkan segala isu mengenai perkara tersebut dengan
memberitahu secara terperinci agar
masyarakat mudah memahami dan menerima maklumat mengenai isu berkenaan. Contoh kedua pula seperti tiada
bayaran tol yang dikenakan kepada pengguna Lebuhraya Pan Borneo dan
mengecualikan cukai GST kepada perkhidmatan pengangkutan penumpang udara bagi
kelas domestik untuk perkhidmatan laluan pendalaman. Tindakan kerajaan seperti
ini secara tidak langsung telah menimbulkan ketidakpuasan dalam kalangan rakyat
di Semenanjung kerana berlaku ketidakadilan dalam pembahagian Bajet 2016.
Selain itu, pelaksanaan cukai
barangan dan perkhidmatan GST juga sedikit sebanyak memberi kesan kepada
masyarakat. Hal ini kerana, kuasa pembelian terhadap barangan keperluan harian
terpaksa dikurangkan disebabkan adanya GST.
Pelaksanaan GST pastinya memberi kesan dalam bajet bulanan kepada setiap pengguna terutamanya untuk membeli
barangan keperluan asas seperti beras, bawang dan gula. Walaupun niat kerajaan
untuk meningkatkan ekonomi negara dengan pelaksanaan GST, namun masyarakat
tidak dapat menerima hakikat ini kerana tidak memahami tujuan sebenar
pelaksanaan GST. Oleh itu, peranan
wartawan amatlah besar dalam menerangkan sebab utama kerajaan melaksanakan GST.
Antaranya ialah pelaksanaan GST bukan hanya bertujuan untuk mengatasi defisit
fiskal negara tetapi untuk menyelesaikan kelemahan dalam cukai jualan dan
perkhidmatan serta mempelbagai sumber pendapatan negara. Malahan turut berupaya
dalam mengurangkan kos operasi para peniaga di negara ini dengan penjimatan
tahunan sebanyak RM4 bilion bagi semua sektor perniagaan dan RM1.4 bilion untuk
sektor eksport. Oleh itu, jelaslah bahawa, setiap tindakan yang dibuat oleh
kerajaan merupakan satu langkah ke arah mencapai kebaikan bersama.
Di samping itu, wartawan juga
berperanan sebagai orang tengah antara kerajaan dan rakyat dalam merealisasikan
negara maju menjelang Wawasan 2020. Pelbagai langkah telah di ambil oleh
kerajaan untuk menjadikan negara ini terus membangun selaras dengan kemajuan
yang dicapai seperti memperkasakan agenda bumiputera. Langkah ini dibuat untuk menggalakan
bumiputera menyertai bidang keusahawan dengan memberi kemudahan pinjaman
kewangan kepada mereka bagi memulakan perniagaan. Tambahan pula, Yayasan Amanah
Hartanah Bumiputera ditubuhkan untuk meningkatkan pemilikan hartanah komersial
untuk menyediakan lebih banyak ruang perniagaan yang strategik bagi usahawan
bumiputera, (Muhamad Rosli Selamat, 2006). Di sini, matlamat utama kerajaan adalah untuk
membantu meningkatkan pendapatan dan menjadikan mereka seorang yang berfikiran
kritis serta inovasi. Secara tidak langsung, masyarakat yang membaca maklumat
berkenaan akan memahami secara jelas tentang tujuan sebenar yang diperkenalkan
oleh kerajaan dalam memperkasakan agenda bumiputera.
Seterusnya, wartawan juga
berperanan untuk menyebarkan maklumat berkaitan segala projek pembangunan yang
dilakukan oleh kerajaan agar masyarakat mengetahui aliran wang negara yang digunakan oleh
kerajaan untuk sesuatu projek pembinaan. Sebagai contohnya, projek sambungan
Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Ampang, dengan jarak 18.1 kilometer (km)
akan mula beroperasi pada Mac 2016. Tambahan pula, projek sambungan LRT kedua
iaitu Laluan Kelana Jaya sehingga Putra Heights dengan jarak 17.4km juga turut
dibina untuk memberi keselesaan kepada penduduk yang menelan belanja RM10
bilion (Berita Kosmo). Hal ini bertujuan
untuk mengelak perasaan tidak yakin masyarakat terhadap kerajaan dalam sistem
pengurusan kewangan negara.
iii)
Politik
Dari aspek politik pula,
wartawan turut memainkan peranan penting bagi memastikan politik negara
sentiasa berada dalam keadaan stabil tanpa berlakunya huru-hara. Di sini, wartawan perlu
melaporkan berita berkaitan politik yang berlaku dalam negara. Sebagai
contohnya, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13). Wartawan akan melaporkan maklumat
berkaitan pilihan raya seperti siapa yang berhak mengundi, kawasan pengundian,
siapa ahli yang tercalon dan siapa yang memenangi pilihan raya secara
keseluruhan. Contohnya, PRU di negeri
Selangor iaitu di Sungai Besar dimenangi oleh Barisan Nasional di bawah
pimpinan Noriah binti Kasnon. Ini secara tidak langsung dapat memberi maklumat
kepada masyarakat tentang perkara tersebut serta bertujuan untuk mengelak
masyarakat dari meragui pilihan raya yang diadakan, jika maklumat tidak
dipaparkan di dada akhbar atau televisyen. Segala maklumat yang disiarkan juga tidak
semestinya akan diterima secara terus oleh masyarakat, malahan masyarakat perlu
mentafsir terlebih dahulu maklumat yang disampaikan dengan sebaik mungkin.
Jelas menunjukkan bahawa seorang wartawan haruslah bijak menggunakan ayat dan
menyusun berita dengan memasukkan nilai-nilai berita pembangunan untuk
masyarakat yakin terhadap perkara yang diterima.
Wartawan sememangnya bertanggungjawab
untuk menyebarkan maklumat mengenai isu politik. Hal ini tidak dapat dinafikan
lagi bahawa tanpa watawan, masyarakat tidak akan mendapat berita mengenai
hal-hal yang berlaku disekeliling mereka. Oleh itu, jelas menunjukkan bahawa
wartawan mampu membawa arus perubahan dalam sistem politik negara melalui
penyampaian berita yang di siarkan pada dada-dada akhbar selama ini. Berita
berkaitan politik selalunya akan disiarkan melalui media massa dan media baru.
Setiap perkara yang berkaitan politik, wartawan bertanggungjawab memuatnaik
berita dari semasa ke semasa supaya masyarakat sentiasa mendapat maklumat yang
terbaru. Hal ini kerana setiap yang berkaitan dengan politik akan memberi kesan
kepada pentadbiran negara dan masyarakat. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa
tugas wartawan begitu besar terhadap pembangunan negara demi menjaga
keselamatan dan juga kestabilan negara tanpa berlakunya sebarang kekecohan.
Namun, tidak dapat dinafikan juga bahawa wartawan
merupakan pengantara antara kerajaan dengan masyarakat. Setiap luahan dan aduan
rakyat mesti dilaporkan dalam berita. Hal ini adalah untuk memastikan bahawa
kerajaan dapat mendengar segala isu luahan dan aduan rakyat. Apabila pemimpin membaca
segala isu-isu yang diutarakan oleh rakyat, beliau akan berusaha untuk menunaikan
segala kekurangan yang dihadapi oleh rakyatnya selama ini. Hal ini kerana
berita yang dilaporkan bukan sahaja dibaca oleh masyarakat, tetapi juga dibaca
oleh pihak kerajaan atau pemimpin negara. Di sini, wartawan akan membuka minda
masyarakat bahawa kerajaan sebenarnya prihatin terhadap kehidupan masyarakatnya
untuk sentiasa dapat mengubah kehidupan dari sedia ada kepada kehidupan yang
lebih baik. Jelaslah bahawa wartawan merupakan pengantara antara kerajaan
dengan masyarakat bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan lancar dan
mendapat sokongan padu daripada rakyat sekelilingnya.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, jelas
menunjukkan bahawa wartawan mempunyai peranan yang sangat penting dalam proses
pembangunan negara dari aspek sosial, ekonomi, politik. Wartawan mempunyai
tanggungjawab besar dalam menyebarkan, melapor dan mewar-warkan maklumat kepada
masyarakat berkaitan segala isu yang berlaku sama ada dari dalam dan luar
negara. Kecanggihan teknologi seperti internet yang ada sekarang membolehkan
masyarakat mendapat maklumat dengan cepat dan pantas yang menggantikan media
arus perdana seperti televisyen dan radio (Rani Ann Balaraman & Faridah
Ibrahim, 2013).
Wartawan akan menyebarkan maklumat yang penting dan benar kepada masyarakat.
Hal ini kerana, wartawan tidak boleh menyebar maklumat mengikut citarasa dan
kehendak mereka kerana mereka mempunyai etika dan undang-undang yang harus
dipatuhi. Jika mereka mengeluarkan kenyataan palsu atau berbentuk hasutan
kepada seseorang atau kerajaan, wartawan akan dikenakan hukuman. Oleh itu,
mereka tidak boleh sewenang-wenangnya menyebarkan isu yang boleh menyentuh
sensitiviti perkauman dan ketenteraman awam. Secara tidak langsung, masyarakat
akan memperoleh berita yang berkualiti dan mempunyai nilai pembangunan yang
boleh meningkatkan kehidupan masyarakat. Penulisan wartawan juga mampu memberi
impak yang besar kepada masyarakat. Ini kerana, kekuatan penulisan seorang
wartawan mampu meningkatkan dan menjatuhkan sesebuah organisasi atau institut
kerajaan. Oleh itu, jelaslah bahawa, wartawan mempunyai tanggungjawab yang
besar kepada masyarakat untuk lebih berfikiran terbuka, berdaya saing dalam
mentafsir mesej yang disampaikan serta membina masyarakat untuk terus maju ke
hadapan dengan merealisasikan hasrat kerajaan mencapai Wawasan 2020.
Gambar hiasan sahaja. |
0 komen anda :):
Post a Comment