Oleh
: Nurul A’yuni Binti Ahmad
Pengenalan
Dengan
adanya ICT masyarakat kini khususnya generasi muda semakin celik dan terbuka
untuk menerima perubahan dari tahap yang dahulu ke tahap yang lebih maju dan
moden. Melalui ICT juga, masyarakat akan dapat memperolehi maklumat-maklumat
yang dapat membantu mereka memahami akan segala selok belok hal atau perkara
yang berlaku dalam negara. Kerajaan juga turut menggalakan masyarakat menguasai
kemahiran ICT agar misi dan matlamat negara untuk menjadi negara yang setanding
dengan negara maju lain. Melalui ICT juga, perkembangan dunia kewartawanan
turut mengalami perubahan yang pesat. Pada mulanya dunia kewartawanan merupakan
media yang bersifat tradisional kepada media yang berbentuk digital. Ini kerana
masyarakat kini bergantung sepenuhnya kepada teknologi maklumat. Oleh itu,
dengan mentransformasikan bidang tersebut, maka semua golongan masyarakat akan mempunyai
maklumat.
Namun,
pembangunan industri media yang semakin pesat meningkat telah menimbulkan
pelbagai cabaran dalam pelbagai aspek terutama kepada pihak wartawan.
Penggunaan ICT yang semakin menular dalam golongan masyarakat semakin lama menghakis
dan menjejaskan dunia kewartawanan yang dahulunya merupakan media yang bersifat
tradisional iaitu melalui pencetakan. Untuk menyelaraskan perubahan ini, dunia
kewartawanan juga perlu turut mempelajari dan menerima teknologi maklumat. Oleh
itu, penyebaran maklumat kini ditingkatkan kepada media yang berbentuk digital
di mana kini semua maklumat dan berita disebarkan melalui teknologi maklumat.
Kini, wartawan bukan sahaja mampu menulis berita dengan baik, malah mereka juga
semakin mahir menggunakan teknologi maklumat selaras dengan perkembangan yang
semakin berkembang dalam kalangan masyarakat.
Medium penyebaran teknologi maklumat
Antara
media yang digunakan oleh para wartawan ialah media sosial yang menjadi salah
satu media utama masyarakat. Media sosial yang digunakan terdiri daripada laman
sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan juga laman web. Selain melayari
hiburan masyarakat juga dapat memperoleh maklumat melalui berita yang
disebarkan melalui media sosial. Wartawan boleh menarik minat masyarakat untuk
membaca berita yang ditulis dengan menggunakan tajuk atau ‘headline’ yang menarik. Wartawan juga boleh menyiarkan maklumat
yang ingin disebarkan dalam laman web yang dihiasi oleh pelbagai maklumat yang
menarik.
Menurut
data statistik yang dikeluarkan oleh Cyber Security Malaysia, penggunaan teknologi
maklumat pada tahun 2015 di kalangan masyarakat terutama golongan belia dan
golongan professional meningkat sebanyak 15 peratus berbanding tahun 2014. Ini menunjukkan
teknologi maklumat memainkan peranan besar dalam kehidupan dan aktiviti
seharian masyarakat. Mengikut laporan, kadar penembusan jalur lebar negara
secara keseluruhannya mencapai kira-kira 84 peratus dan ia membolehkan
masyarakat mengakses internet dengan mudah termasuk bertukat maklumat tentang
sesuatu isu, kejadian bencana, kemalangan, kebakaran dan berkongsi gambar serta
menambah kenalan di serata negara.
Selain
itu, dengan adanya telefon pintar yang mempunyai kamera berkualiti tinggi
mempermudahkan kerja pemberita menyebarkan video atau gambar sesuatu peristiwa.
Wartawan boleh menggunakan telefon pintar sendiri tanpa memerlukan juru kamera
untuk merakam peristiwa kejadian. Video atau gambar yang dirakam secara langsung
akan menarik minat pembaca kerana ia boleh membuktikan satu kebenaran. Sebagai
contoh, rakaman video bencana Tsunami 2004 yang dirakam oleh mangsa boleh
disimpan dan ditonton berulang-ulang kali. Berita yang ditulis dalam blog atau
online berita juga boleh meletakkan video yang dirakam di sudut tepi supaya
boleh ditonton oleh pembaca.
Seterusnya,
setiap berita atas talian atau blog menggunakan hiperpautan. Hiperpautan ialah
sambungan daripada sesebuah dokumen web kepada dokumen web yang lain. Pautan
adalah perkara yang terpenting dalam pembinaan Jaringan Sejagat kerana ia boleh
menyambung sesebuah laman web kepada laman web yang lain. Pembaca akan
mendapatkan maklumat lebih lanjut dengan adanya hiperpautan. Hal ini akan
mengurangkan ketidakpastian di kalangan pembaca dan memudahkan pembaca mendapat
maklumat berikut dengan cepat.
Kepentingan teknologi maklumat
Teknologi
maklumat penting terhadap penyebaran berita dalam era ledakan teknologi
maklumat kerana menjimatkan kos.Ini kerana terdapat internet memberi ruang
untuk mengakses sesuatu berita secara percuma dan tiada kos yang di perlukan
untuk mencetaknya dan berita hanya di muat turun terus di laman web.
Contoh berita secara atas
talian atau online dapat dibaca
di laman web secara percuma tanpa perlu melanggannya. Sesiapa yang
berminat dan mahu menyiarkan berita melalui teknologi maklumat seperti laman
sosial tidak perlu membayar ruangan untuk menerbitkannya sebagaimana akhbar
harian dalam halaman bercetak tetapi hanya perlu mendaftar.
Selain
itu, teknologi maklumat juga dapat menyebarkan berita
secara meluas tanpa mengira sempadan geografi dan
dapat dibaca oleh rakyat serata dunia . Ini sekaligus membantu
dari segi publisiti dan promosi
nama sesebuah akhbar supaya lebih
dikenali oleh masyarakat luar serta boleh
mendapat komen dan maklum balas
mengenai penulisan sesebuah berita
bukan sahaja daripada
pembaca sama ada
masyarakat tempatan malah
masyarakat . Teknologi maklumat
seperti media elektronik
iaitu radio mampu menyebarkan berita
bukan sahaja masyarakat bandar malah kepada masyarakat
di kampung atau pendalaman.
Selain itu , berita dapat disebarkan melalui teknologi maklumat
secara meluas dari segi skop liputan berita bukan sahaja tertumpu kepada isu
tempatan malah antarabangsa.
Di
samping itu, teknologi maklumat
membantu menyebarkan sesebuah
berita dengan cepat kerana tidak
perlu melalui proses percetakan yang
lama dan dapat disebarkan dengan
segara serta tepat
pada masanya malah berita sentiasa di sunting dan dikemas kini dari semasa ke semasa. Ruangan untuk memaparkan berita dalam
saluran teknologi maklumat luas menyebabkan sesuatu berita itu tidak tertangguh
untuk diterbitkan dan dapat memaparkan banyak berita dalam satu
ruangan berbanding ruangan terhad
bagi menerbitkan sesebuah berita dalam
media cetak. Ini dapat membantu menerbitkan sesebuah berita dengan cepat tanpa
halangan seperti cuaca. Hal ini kerana sekiranya cuaca buruk melanda
tetapi berita tetap dapat di
akses oleh pembaca.
Teknologi
maklumat seperti internet membantu penyebaran sesuatu berita agar mudah di akses melalui pelbagai
peranti atau peralatan mudah alih seperti
telefon pintar, komputer tablet di
mana- mana saja anda
berada sama ada di pejabat, rumah
dan tanpa mengira batasan waktu
Selain
itu ,teknologi maklumat seperti internet membantu penyebaran berita secara
siaran langsung dan mutakhir di tempat sesuatu berita atau insiden itu dilaporkan dan boleh membaca atau melihat
berita terbabit secara berulang kali melalui carian dalam koleksi arkib berita
online. Pemaparan berita secara langsung
menerusi televisyen dapat memberi gambaran secara visual serta audio
mengenai situasi sebenar berita yang dilaporkan serta dapat menyiarkan sesi
menemu bual mangsa atau pihak di tempat kejadian semasa siaran berita
berbanding akhbar secara cetak.
Di
samping itu, teknologi maklumat seperti jaringan internet membantu proses
memuat turun dan penyimpanan sesuatu petikan berita bukan sahaja dalam ruangan
halaman berita secara online atau atas talian itu sendiri tetapi juga dalam
laman blog, laman sosial, e-mail, portal.
Surat
khabar online membantu dalam penyebaran berita dengan memberikan butiran secara
terperinci dan jelas tentang waktu sebenar sesuatu berita dilaporkan dan
dikeluarkan berdasarkan catatan masa pada sesuatu halaman beritanya serta menawarkan
berita dalam versi dwi bahasa berbanding akhbar bercetak. Di samping itu, media
elektronik iaitu televisyen dapat melaporkan berita dalam pelbagai versi bahasa
sepertimana saluran televisyen NTV7 yang menyiarkan slot buletin Mandarin,
Inggeris dan Cina .
Media
elektronik memberikan pengkhususan atau pilihan bagi rangkaian saluran berita
untuk ditonton mengikut selera atau cita rasa masing-masing seperti perniagaan,
sukan. Contoh televisyen berbayar seperti Astro menawarkan saluran berita
khusus untuk sukan seperti Astro Arena dan perniagaan seperti Bloomberg.
Dalam
berdepan dengan perkembangan pesat berkenaan era maklumat, ia menuntut
persediaan rapi dan penguatkuasaan sistem perundangan dalam menghadapi pelbagai
penyelewengan siber. Dewasa ini, kewujudan pelbagai kemudahan serta peluang
pendidikan dalam bidang berkenaan berjaya melahirkan pakar dan tidak terkecuali
individu yang memanipulasikan sistem teknologi maklumat. Hal
berkenaan dapat dilihat menerusi beberapa kes yang berlaku sejak kebelakangan
ini sehingga mewujudkan suasana kurang sihat di kalangan pengguna terutamanya
dalam penyebaran gambar lucah dan fitnah. Menurut pakar, jenayah siber boleh
dikategorikan kepada jenayah siber terhadap harta benda, jenayah siber terhadap
manusia atau individu dan keganasan. Sikap negatif berkenaan suatu sikap tidak
bermoral yang perlu dikikis supaya tidak merosakkan usaha murni kerajaan
melahirkan dunia teknologi maklumat yang menguntungkan semua.
Era
globalisasi mencetuskan banyak perubahan dalam menghayati kehidupan selepas
arus permodenan. Perubahan terhadap gaya hidup berorientasikan teknologi dan
kemajuan maklumat memberikan kesan dan menjadi cabaran terhadap nilai, budaya,
pemikiran dan corak hidup yang bersendikan adat, tatasusila ketimuran dan
penghayatan agama. Perubahan dunia masa kini amat pantas hasil ledakan
teknologi maklumat. Setiap hari pelbagai hasil ciptaan baru dari inovasi
teknologi. Teknologi dan maklumat telah berjaya menghapuskan batasan sempadan
sesebuah negara. Malahan ia berjaya merubah bentuk pemikiran, ideologi, budaya
dan berbagai elemen luar memasuki ruang negara lain tanpa sekatan dan kawalan. Maklumat
sangat berharga dalam dunia globalisasi hingga ia menadi penentu dan penggerak
kepada masa depan.
Terdapat
beberapa cabaran dalam dunia siber antaranya ialah kesahihan maklumat. Maklumat
yang tepat dan benar kesahihannya adalah penting bagi memastikan tidak berlaku
penyelewengan dan kepalsuan fakta. Terutama sekali dalam soal ilmu keagamaan yang
perlu dipastikan kesahihannya. Pihak yang tidak bertanggungjawab sentiasa
mencari jalan bagi menyeleweng dan melakukan penipuan bagi tujuan menyesatkan
orang lain. Oleh itu seseorang perlu merujuk kepada sumber asal bagi
mengesahkan maklumat dan mengelakkan kekeliruan. Kesan yang nyata dari amalan
ini ialah ramai pencari maklumat mudah mempercayai bahan yang diperolehi dari
internet. Rujukan maklumat semata-mata kepada internet tanpa pengesahan akan
menimbulkan masalah tentang kebenaran fakta sesuatu maklumat.
Cara menangani penyebaran fitnah melalui
teknologi maklumat
Antara
langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah fitnah adalah mewujudkan
sebuah badan khas yang menyelenggara atau menapis segala paparan di laman
sesawang. Hal ini kerana laman sesawang telah menjadi medium utama pada masa
kini untuk menyebarkan fitnah kerana sifatnya yang terbuka dan bebas berbanding
media cetak. Apatah lagi konsep kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang
diamalkan tanpa sekatan dalam internet itu sendiri membolehkan sesiapa sahaja
menghantar atau menyiarkan sebarang maklumat sama ada benar atau tidak.
Seandainya sebuah badan penapis atau pemantau diwujudkan, cerita-cerita yang
tidak sepatutnya dapat dihalang untuk disiarkan, seterusnya mampu mengurangkan
masalah fitnah.
Langkah
kedua yang boleh diambil untuk mengatasi isu fitnah adalah dengan
menguatkuasakan undang-undang yang lebih berkesan. Undang-undang tersebut bukan
sekadar menyediakan hukuman berat kepada pesalah fitnah yang telah dibuktikan
malahan mampu menakutkan semua, agar tidak sewenang-wenangnya berkata, menulis
atau menyiarkan sesuatu yang tidak benar, memandangkan kesan daripadanya amat
besar bak kata pepatah, ‘kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan
binasa’.
Memberi
pendedahan yang meluas kepada masyarakat akan etika penulisan yang sebenar juga
adalah salah satu cara untuk mengatasi masalah fitnah. Jika dilihat, masyarakat
kini lebih cenderung untuk sekadar menulis apa yang terlintas di fikiran tanpa
memikirkan implikasi yang timbul akibat penulisan tersebut. Hal ini terjadi
kerana mereka tidak tahu dan tidak peka terhadap etika penulisan atau
undang-undang berkenaan. Dalam hal ini, media massa dan elektronik akan
memainkan peranan yang cukup besar dalam menyebarkan prosedur sebenar penulisan
yang tidak melanggar syarat-syarat menulis bukan sahaja berkaitan isu sensitif
seperti isu agama dan politik malahan penggunaan bahasa yang sesuai dalam
penulisan.
Seterusnya,
isu fitnah dapat diatasi dengan mewajibkan atau melakukan penegasan agar semua
data-data, fail atau laman-laman sesawang didaftarkan sebelum boleh dilayari.
Hal ini bagi memudahkan sebarang maklumat tidak sah atau tidak benar dikesan
seterusnya membolehkan seseorang lebih berhati-hati dan meneliti terlebih
dahulu tulisan mereka kerana dikhuatiri, jika penulisan tersebut mengandungi
unsur fitnah, mereka akan dikenakan tindakan sewajarnya bak bidalan lama,
‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam, dengar-dengar.’
Kesimpulan
Kemudahan
teknologi maklumat kini telah membuatkan segala keperluan dan kehendak kita
menjadi lebih mudah ibarat segalanya hanya di hujung jari di dalam evolusi
dunia tanpa sempadan. Kita mampu untuk mengetahui setiap perkara yang berlaku
di sekeliling dunia hanya dengan berada dirumah melayari internet. Di situ
juga, kita dapat menyampaikan pelbagai maklumat untuk diketahui umum tanpa
perlu bersusah-payah menggunakan kudrat tulang empat kerat.
Memang penting untuk masyarakat mendedahkan
diri dengan internet dan teknologi maklumat. Tetapi perlu diguna secara baik
menurut keperluan yang tidak menyalahi undang-undang yang sedia ada. Sebagai
manusia yang hidup di zaman serba canggih, kita perlu menjadi lebih proaktif
dan dinamik. Setiap kerja yang kita lakukan harus menitikberatkan sifat
kelestarian supaya ia tidak memberikan contoh yang buruk kepada generasi muda.
Tidak salah untuk kita menyebarkan pelbagai maklumat kepada umum demi membuka
minda mereka tetapi setiap maklumat tersebut haruslah sahih dan mempunyai fakta
yang kukuh. Jangan jadikan medium ini sebagai tempat untuk melepaskan geram
semata-mata tanpa memikirkan mengenai sensitiviti orang lain
Gambar hiasan sahaja |
0 komen anda :):
Post a Comment