PERANAN MEDIA MASSA DALAM MENANGANI MASALAH ALAM SEKITAR

Oleh : Nabilah Binti Zulkifli                   
           Nur Farah Hanim Binti Ahmad   


Gambar hiasan sahaja

Pengenalan

Alam sekitar merupakan khazanah yang tidak ternilai kepada seluruh makhluk di muka bumi. Namun, dek kerakusan manusia, kelestarian alam sekitar terus dilenyap. Malahan, sejak kebelakangan ini, isu alam sekitar di negara kita kian meruncing. Antara faktor berlakunya pencemaran alam sekitar adalah disebabkan pertambahan bilangan kenderaan, penebangan hutan secara tidak terkawal, pembuangan sisa toksik, pembangunan yang tidak terancang dan sebagainya. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa pembangunan amat penting untuk kemajuan sesebuah negara. Sekiranya pembangunan yang dirancang tidak mengambil kira ataupun tidak diseimbangkan dengan kemampuan alam sekitar sudah semestinya akan menyebabkan konsep pembangunan berterusan tidak dapat direalisasikan. Keadaan sebegini akan lebih teruk jika ianya tidak dibendung dari awal oleh pihak berwajib. Oleh itu, untuk penyelesaian yang lebih baik dan berkesan dalam menangani isu-isu tersebut kerjasama daripada pelbagai pihak amat diperlukan sama ada pihak kerajaan, pihak swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat itu sendiri.

Media merupakan medium terpenting dalam menyalurkan sesuatu informasi atau mesej, manakala media massa pula merupakan sebuah alat atau perantara terpenting yang digunakan untuk menyampaikan sesuatu maklumat, membentuk persepsi atau tanggapan serta membentuk sikap dan mendidik masyarakat terhadap setiap maklumat yang disalurkan (Mohd Yusof Hj Othman, 2010). Penyampaian sesuatu maklumat dan mesej amat penting kerana sesuatu idea, berita atau maklumat tidak dapat disalurkan kepada seluruh masyarakat sekiranya kita tidak mempunyai media untuk menyampaikannya. Seperti yang kita ketahui, media massa mempunyai pelbagai bentuk media antaranya media elektronik, media cetak dan media interaktif yang boleh digunapakai dalam penyampaian maklumat. Bentuk media massa yang sering digunakan adalah media cetak seperti surat khabar, majalah, buku, media elektronik seperti radio, televisyen dan media interaktif seperti Facebook, Twitter dan sebagainya. Sememangnya, kewujudan media memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan mesej tertentu dan ianya terbukti bahawa media merupakan perantaraan terpenting kepada seluruh masyarakat. Kepentingan media amat meluas dan bukan hanya sekadar menyampaikan maklumat sahaja, tetapi media berperanan dalam membentuk pola pemikiran masyarakat. Sehubungan itu, antara peranan yang boleh diterapkan dalam media massa dalam menangani alam sekitar adalah seperti menerangkan kepada masyarakat tentang polisi dan dasar kerajaan tentang alam sekitar, mempromosikan isu alam sekitar sebagai isu yang membabitkan kesejahteraan masyarakat, membina sisipan khas “Alam Sekitar”, sebagai medium pendidikan tidak formal kepada masyarakat dan sebagainya.

Menerangkan kepada masyarakat tentang polisi dan dasar kerajaan tentang alam sekitar

Salah satu peranan yang boleh dimainkan oleh media massa untuk menangani alam sekitar adalah dengan menerangkan kepada masyarakat tentang polisi dan dasar kerajaan tentang alam sekitar. Sebagai contoh, media massa boleh menuar-uarkan kepada seluruh masyarakat tentang hukuman yang akan dikenakan terhadap individu atau organisasi jika telah didapati bersalah mencemarkan alam sekitar. Oleh itu, kesedaran rakyat tentang kepentingan alam sekitar akan meningkat dan secara langsung mereka akan serik untuk mencemarkan alam sekitar jika mereka mengetahui hukuman yang dikenakan terhadap mereka begitu berat. Selain itu, pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar juga boleh bekerjasama dengan media massa dengan menganjurkan program berbentuk bual bicara untuk memperjelaskan perkara tersebut secara lebih terperinci kepada masyarakat tentang penguatkuasaan undang-undang atau dasar yang ditetapkan oleh pihak kerajaan kepada individu tanpa sikap memilih bulu. Hal ini kerana, media massa memainkan peranan penting dalam membentuk cara pemikiran masyarakat sejagat. Seterusnya, media massa juga berperanan dalam menghebahkan Dasar Alam Sekitar Negara kepada seluruh masyarakat demi membentuk tingkahlaku dan pemikiran masyarakat terhadap peningkatan kualiti hidup rakyat Malaysia menerusi kesejahteraan alam sekitar dan pembangunan lestari.

Antara intipati Dasar Alam Sekitar Negara adalah bertujuan mengintegrasikan pertimbangan alam sekitar ke dalam aktiviti pembangunan dan proses membuat keputusan yang berkaitan, memupuk pertumbuhan ekonomi serta kemajuan manusia jangka panjang, dan untuk melindungi dan memperbaiki alam sekitar. Ia melengkapi dan menambah dimensi alam sekitar yang terkandung dalam dasar kebangsaan yang lain, seperti dasar perhutanan dan perindustrian, dan juga mengambil perhatian akan konvensyen antarabangsa mengenai kepentingan sejagat (Jabatan Alam Sekitar, 2015). Hal ini bertujuan untuk membentuk kesedaran masyarakat sejagat secara menyeluruh tentang pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar supaya mereka turut bertanggungjawab dalam pemeliharan alam sekitar dan tidak mengharapkan kerajaan semata-mata. Melalui media juga, pendedahan tentang  alam sekitar dapat disalurkan melalui pelbagai platform media seperti majalah, akhbar, televisyen, radio dan sebagainya. Di samping itu, penyaluran maklumat melalui media juga mampu memberikan galakan kepada masyarakat untuk menggunakan teknologi moden bagi mengurangkan pencemaran alam sekitar. Sebagai contoh, tanpa teknologi moden, sisa pepejal seperti surat khabar lama, majalah lama, kertas, kain, bahan plastik dan kaca tidak dapat dikitar semula.

Mempromosikan isu alam sekitar sebagai satu isu yang membabitkan kesejahteraan semua masyarakat

Peranan media massa dalam menangani alam sekitar yang seterusnya ialah mempromosikan isu alam sekitar sebagai satu isu yang membabitkan kesejahteraan masyarakat sejagat. Oleh itu, sebarang aktiviti atau program yang dijalankan berkaitan melindungi alam sekitar seperti kempen “Cintailah Sungai Kita”, “Kempen Kitar Semula”, “Sahabat Alam” dan sebagainya dapat dipromosikan melalui hebahan oleh media massa ke seluruh pelosok negara. Melalui hebahan yang dibuat oleh media massa tersebut, ianya mampu membuka mata dan minda masyarakat tentang penjagaan alam sekitar terhadap hidupan di muka bumi ini. Selain itu, melalui hebahan aktiviti tersebut juga, ianya dapat memberi kesan yang mendalam terhadap masyarakat yang terlibat secara langsung.

Melalui aktiviti tersebut, maka peserta akan diajar tantang pentingnya menjaga alam sekitar, cara menguruskan sisa buangan dan menggalakkan pengguna mengitar semula bahan yang boleh dikitar semula (Mohamad Fazli Sabri & Teong Yong Yong, 2006). Sehubungan itu, media massa juga boleh menghebahkan tentang sebarang pameran alam sekitar yang dianjurkan di seluruh negara kepada masyarakat bagi memupuk  minat orang ramai mencintai alam sekitar. Pameran tersebut boleh dilakukan sama ada di galeri perdana, sekolah-sekolah dan juga tempat awam seperti perpustakaan awam. Melalui hebahan yang dibuat oleh media massa tersebut, masyarakat setempat khasnya dapat mengunjungi pameran yang dianjurkan. Sehubungan itu, melalui hebahan tersebut, secara tidak langsung media massa memainkan peranan penting dalm mempromosikan alam sekitar untuk membentuk tingkahlaku masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar. Bahan-bahan menarik seperti carta, poster, video dan sebagainya boleh ditayangkan semasa pameran tersebut berlangsung bagi menarik minat dan meningkatkan kesedaran serta mengajar masyarakat untuk melindungi alam sekitar.

Membina sisipan khas “Alam Sekitar”

Selain itu, media cetak seperti surat khabar dan buku juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi minda masyarakat dalam mengatasi masalah alam sekitar. Oleh itu, surat khabar boleh menyediakan sisipan khas bagi menyiarkan rencana-rencana alam sekitar, menyiarkan lebih banyak laporan, memuatkan liputan yang lebih luas, menambahbaik bentuk laporan dan mengambil insiatif yang lebih proaktif bagi meningkatkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan pembaca. Hal ini kerana, surat khabar merupakan sumber maklumat yang mudah disalurkan kepada seluruh masyarakat dalam proses membentuk pemikiran dan tingkah laku masyarakat ke arah yang lebih positif demi kelestarian alam sekitar. Seterusnya, penerbitan buku bekaitan penjagaan alam sekitar juga perlu dipertingkatkan dalam membantu generasi muda membentuk pengetahuan dan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Hal ini penting dalam usaha melahirkan generasi yang dapat menerapkan nilai-nilai murni tentang penjagaan alam sekitar dalam setiap polisi atau tindakan yang diambil (Mariah Muda, Raihanah Khudri & Md. Salleh Hassan, 2004).
Membina iklan tentang penjagaan alam sekitar di media massa

Seterusnya, media massa juga berperanan dalam menangani isu pencemaran alam sekitar di mana bertindak untuk membina iklan-iklan berkaitan penjagaan alam sekitar. Dalam usaha untuk mengatasi pencemaran alam sekitar yang berlaku, penyebaran iklan tentang cara dan langkah-langkah mengatasi pencemaran dapat membantu usaha tersebut dicapai. Pembinaan iklan di media massa seperti televisyen, radio serta media cetak seperti majalah dan surat khabar dapat menyebarkan maklumat kepada masyarakat tentang isu pencemaran alam sekitar yang berlaku (Mohd Yusuf, 2010). Selain itu, pembinaan iklan pencemaran alam sekitar di media massa tersebut dapat memberi kesan yang mendalam terhadap khalayak masyarakat seterusnya dapat mengatasi masalah tersebut. Melalui iklan yang dibina dan diterbitkan dalam televisyen, radio dan surat khabar itu, masyarakat akan didedahkan dengan kepentingan penjagaan alam sekitar dan langkah mengatasi isu tersebut daripada berlaku. Secara tidak langsung, masyarakat akan berupaya untuk belajar menjaga alam sekitar dengan baik dan betul. Oleh itu, pembinaan dan penyebaran iklan-iklan berkaitan pencemaran alam sekitar harus dipergiatkan bagi memupuk sikap positif dan mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Jadi, matlamat kempen untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat akan tercapai apabila masyarakat berupaya sedar akan kepentingan menjaga alam sekitar.

Melaksanakan rancangan yang berbentuk dokumentari

Selain itu, menurut Abu Hassan (2000), rancangan dan program yang disiarkan di media juga bertujuan untuk menangani isu pencemaran alam sekitar. Hal ini dapat dibuktikan melalui rancangan dokumentari Majalah3 yang bertujuan merungkai faktor-faktor berlakunya pencemaran alam sekitar seterusnya menyampaikan mesej kepada seluruh masyarakat. Melalui apa yang dirungkaikan dalam rancangan tersebut, secara tidak langung masyarakat dapat mengetahui maklumat dan mengambil iktibar di atas apa yang disiarkan dan cuba disampaikan. Hal ini kerana, jika rancangan dokumentari seperti ini tidak disiarkan di media massa seperti televisyen dan radio, masyarakat tidak akan tahu dan sedar akan isu pencemaran alam sekitar yang semakin serius di Negara Malaysia. Maka dengan itu, dengan pelaksanaan rancangan berbentuk dokumentari di media adalah bertujuan untuk menimbulkan kesedaran dan kepekaan masyarakat terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar. Tambahan pula, setiap rancangan dokumentari yang disiarkan di televisyen selalunya mendapat perhatian orang ramai. Dengan ini, untuk mencapai usaha kerajaan bagi mengawal pencemaran alam sekitar yang berlaku akan lebih berkesan dan berjalan dengan lancar.

Menjadi pendidik kepada masyarakat

Media massa juga dikatakan berperanan sebagai pendidik kepada masyarakat di mana berfungsi untuk menyalurkan maklumat tentang pencemaran alam sekitar. Hal ini dapat dilihat melalui media-media seperti surat khabar, majalah dan juga risalah yang dibaca oleh masyarakat. Oleh itu, secara tidak langsung, kandungan yang terdapat dalam surat khabar dan juga majalah tersebut dapat memberi kesan terhadap pembacanya seterusnya menyebabkan pembaca bertindak secara positif. Sebagai contohnya, dalam majalah terdapat satu ruangan seperti rencana yang berkaitan dengan pencemaran alam sekitar di mana masyarakat dapat membaca seterusnya memahami mesej yang ingin disampaikan serta memperolehi pengetahuan baru. Maka dengan itu, media tersebut telah menjadi pendidik kepada golongan masyarakat yang membaca maklumat tersebut. Secara tidak langsung, majalah tersebut mendidik masyarakat ke arah yang lebih positif dan dapat melahirkan masyarakat yang gemar membaca. Selain daripada media cetak, media elektronik seperti televisyen juga banyak menyiarkan rancangan yang mempunyai unsur-unsur pembelajaran yang dapat mendidik masyarakat ke arah lebih baik. Sebagai contoh seperti rancanagan Forum Perdana di TV2 yang membincangkan isu-isu menarik. Dengan ini, media di anggap sebagai pendidik kepada masyarakat melalui pelbagai aspek dan juga bidang (Jamilah, Hasrina, Hamidah & Juliana, 2011).

Kesimpulan

Kesimpulannya, alam sekitar merupakan tanggungjawab yang harus dipikul bersama oleh setiap ahli masyarakat. Setiap dalam kalangan masyarakat perlu bertindak dengan sewajarnya dalam usaha menangani isu pencemaran alam sekitar. Maka dengan itu, pendidikan yang dilaksanakan dalam pelbagai bentuk dan aspek merupakan pendekatan yang paling sesuai dalam menangani masalah pencemaran alam sekitar. Selain itu, bagi memastikan alam sekitar kita menjadi sihat dan bersih usaha haruslah bermula dari rumah sendiri. Hal ini kerana, menjaga alam sekitar perlulah daripada akar umbinya sendiri. Kesedaran dan keperihatinan masyarakat merupakan perkara penting bagi mencegah terjadinya pencemaran alam sekitar. Di mana faktor utama berlakunya pencemaran alam sekitar adalah berpunca daripada sikap dan etika masyarakat itu sendiri. Contohnya, tabiat suka membuang sampah ke dalam sungai akan menyebabkan sungai menjadi kotor dan air sungai tidak dapat mengalir dengan lancar.

Oleh itu, media memainkan peranan dalam menangani isu pencemaran alam sekitar. Hal ini kerana, media merupakan satu medium yang mampu mengubah sikap dan tabiat negatif masyarakat dalam usaha menjaga persekitaran alam sekitar. Media juga berperanan dalam memujuk masyarakat supaya bertingkah laku secara positif bagi menangani isu pencemaran alam. Dengan adanya media seperti surat khabar dan televisyen, masyarakat akan didedahkan dan diterapkan dengan nilai-nilai positif yang mampu menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Media massa merupakan faktor yang penting dalam menyedarkan masyarakat akan kepentingan pemuliharaan alam sekitar kerana media merupakan medium yang paling dekat dengan masyarakat dan mampu mempengaruhi pemikiran masyarakat. Maka dengan itu, penyampaian mesej berkaitan alam sekitar perlulah jelas dan mudah difahami oleh masyarakat agar tidak terdapat ketidakfahaman dalam usaha menangani masalah tersebut.


Share on Google Plus

About Ekspresi 18

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment

0 komen anda :):

Journalism for Social Change

UCAPAN PEMBENTANGAN BAJET 2016