Siti Fatimah
Binti Daud 228984
Gambar hiasan sahaja |
Pengenalan
Sejarah
membuktikan bahawa media telah lama wujud pada seawal tahun 3000 sebelum masihi.
Penemuan kepingan-kepingan yang diperbuat daripada tanah liat yang ditemui oleh
ahli arkeologi memberi gambaran tentang sejarah kehidupan masyarakat lampau
yang sememangnya sudah terdedah dengan media khususnya media massa seperti
media cetak. Kepingan-kepingan tanah liat yang dijumpai mempunyai nilai
sentimental di mana masyarakat pada zaman purba cuba untuk berkomunikasi dan
meluahkan perasaan melalui seni-lukis dan seni-tulis (Sharifah, 1979). Di dalam
penemuan tersebut, terdapat kepingan-kepingan tanah liat yang mempunyai gambar
rajah dan tulisan seragam yang diguna pakai oleh masyarakat pada zaman itu
terutama daripada golongan masyarakat Sumeria Kuno (Sharifah, 1979). Sejarah
penemuan ini membawa kepada penemuan tulisan cetak yang seterusnya seperti di
Malaysia yang menemui batu bersurat di Terengganu. Penemuan ini dipercayai
terdapat unsur-unsur penyebaran ajaran agama Islam di Tanag Melayu pada ketika
itu (Rahimi, Paizah, Kamil & Hayati, 2010).
Selain
itu, penafsiran terhadap konsep media itu juga bersifat dinamik. Pada awal
perkembangan, media diklasifikasikan sebagai perkara-perkara yang meliputi
tulisan, bentuk-bentuk bersimbol, gambar rajah serta buku-buku (Sharifah,
1979). Menurut Sharifah (1979) dalam Rossi dan Briddle (1967), media merupakan
sebuah medium yang digunakan untuk menyampaikan informasi kepada manusia. Definisi
ini secara tidak langsung telah membawa makna yang sama seperti yang dihujah
oleh Yusof (2010) di mana beliau
mentakrifkan bahawa media adalah perantara yang penting di dalam menyampaikan
sesebuah maklumat atau informasi. Berbeza pula dengan media massa yang membawa
erti alat atau instrumen yang diguna pakai oleh pencipta mesej bertujuan untuk
membina persepsi dan tanggapan, membentuk perilaku khalayak sasaran (masyarakat)
berkaitan maklumat yang di uar-uarkan.
Media
Kepadatan
manusia mutahir ini menjadikan media sebagai wadah penting dalam menyampaikan
maklumat. Legasi masyarakat yang menginginkan maklumat segera disampaikan
mendorong kepada kewujudan pelbagai jenis media massa. Media atau media massa terdiri
daripada media cetak, media elektronik dan media sosial. Media cetak terdiri
daripada surat khabar, majalah, leaflet,
brochure, poster, bill board dan
buku-buku. Manakala media elektronik pula adalah seperti televisyen, radio,
filem, komputer, tablet, dan alatan
teknologi maklumat yang lain (Yusof, 2010). Pembaharuan demi pembaharuan telah mewujudkan
lagi media sosial atau media interaktif yang turut diguna pakai untuk
menyampaikan maklumat dengan menggunakan jaringan internet. Media ini terdiri
daripada Whatsapp, Facebook, Twitter,
Instagram, dan Wechat (Hamdan,
2015).
Selanjutnya,
fenomena yang diinovasi oleh golongan cerdik pandai ini telah mewujudkan
limpahan maklumat yang kadang kala berbeza. Masyarakat bebas menggunakan media
mengikut keperluan masing-masing. Hal ini menjurus kepada peranan media itu
sendiri yang bertujuan untuk mendidik, memberitahu, membujuk, menghibur, mencari
bahan rujukan, sumber maklumat dan agen pembentukan kemahiran (Mokhtar,
Abdullah, Darusalam, Jamaludin & Haliza, 1998). Peranan ini sekali gus
menjadikan media sebagai wadah hebat terutama kepada golongan remaja atau
pelajar-pelajar di institut pengajian tinggi. Di dalam bidang pendidikan,
kerajaan telah memperkenalkan sistem pembelajaran baru iaitu E-learning melalui penggunaan media
interaktif (internet). Di Malaysia contohnya, Universiti Utara Malaysia (UUM)
telah mengamalkan pembelajaran menerusi kaedah online atau E-Learning.
Kuliah yang dijalankan menerusi E-Learning
memberi ruang dan peluang kepada pelajar dan pengajar untuk menyahut seruan
kerajaan bagi meningkatkan kecekapan pengajaran dan pembelajaran serta
pegurusan dan kecekapan sistem universiti (Azizol, 2011).
Penggunaan
gabungan media elektronik dan media interaktif ini memberi galakan kepada
pelajar dan tenaga pengajar untuk berusaha mengakses informasi walaupun berada
di luar kawasan pembelajaran. Menurut Azizol (2011) dalam Stocley (2003),
konsep pembelajaran E-Learning ini
merupakan program pembelajaran, pendidikan dan latihan yang menggunakan kaedah
elektronik membabitkan telefon mudah alih, komputer, dan bahan teknologi yang
lain. Sistem pendidikan secara online
ini memuatkan beberapa kemudahan dan penarikan yang tersendiri seperti boleh menggunakan
aplikasi ini untuk upload tugasan,
mengadakan forum, perbincangan, penyampaian tape audio atau video yang
mempunyai animasi teks, grafik, animasi dan simulasi (Azizol, 2010 dalam
Learnframe, 2001). Pembelajaran menerusi media elektronik dan interaktif ini
boleh dilakukan pada masa yang sama (synchronously)
ataupun pada masa yang berbeza (asynchronously)
(Azizol, 2010).
Dari
situ dapatlah dikatakan bahawa media memberi kebaikan kepada pengguna terutama
pelajar dan tenaga pengajar. Namun begitu, terdapat juga kesan negatif
berikutan penyalahgunaan media terutama media interaktif. Pengguna gemar
menghebahkan informasi atau mesej yang salah dan seterusnya memviralkan sesuatu
isu tersebut tanpa usul periksa sehingga menyebabkan terjatuhnya reputasi
seseorang. Sebagai contoh, kematian idola dan seniman agung negara, Allahyarham
Tan Sri Datuk Amar Dr. P. Ramlee atau Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh difitnah
oleh pengarah dan penerbit senior berikutan kehebatan dan kewibawaan beliau
dalam menerbitkan filem-filem yang berkualiti dalam Shaw Organization. Media
pada ketika itu dipengaruhi oleh stereotype yang dicipta oleh pengarah dan
penerbit senior telah menyebabkan kepincangan di dalam penerbitan filem-filem
Allahyarham yang seterusnya.
Rentetan
dari peristiwa itu, terdapat pelbagai persepsi negatif yang dilemparkan kepada
Allahyarham sehingga menyebabkan beliau terpaksa melakukan pembikinan filem
terakhir beliau yang berjudul Laksamana Do Re Mi secara low budget disebabkan oleh masalah kewangan yang dihadainya. Isu
lain seperti pembayaran jaminan beliau terhadap seorang banduan juga menjadi
isu yang disalah tafsir. Beliau diboikot dan berita ini secara tidak langsung
telah menggangu kehidupan peribadi beliau. Laporan negatif dipaparkan di dalam
dada akhbar dan televisyen tanpa mengambil kira faktor persekitaran keluarga.
Media yang bertindak agresif pada ketika itu hanya mementingkan keuntungan
semata-mata tanpa menghiraukan reputasi penerbit dan pengarah tersohor itu (History
Channel Documentary, 2012). Beliau merupakan karyawan tersohor yang disegani
kerana berjaya menghasilkan konsep penceritaan filem yang memberi kesedaran
terhadap penonton. Lirik lagu dan falsafah ciptaannya berjaya membuka minda
masyarakat dalam mempertahankan pembangunan industri perfileman negara (History
Channel Documentary, 2012).
Maka,
dengan itu jelaslah bahawa di samping kebaikan yang diperolehi daripada media
wujud pula masalah negatif yang tidak baik dalam kalangan masyarakat. Kesalahan
wartawan dalam melaporkan berita seperti ini boleh didakwa oleh pihak yang
difitnah dan sekaligus telah meranapkan kepercayaan masyarakat terhadap media.
Bukankah sepatutnya media itu mendapatkan informasi yang sebenar dan melaporkan
yang benar? Disebabkan ketidakharmonian yang terjadi, muncul suara masyarakat
yang melemparkan ketidakpuasan hati. Masyarakat sewenangnya melaporkan,
menyuarakan atau memberi komen terhadap situasi yang berlaku di dalam negara.
Hak asasi manusia
Hak
Asasi Manusia adalah hak yang melekat pada diri setiap manusia sejak awal
dilahirkan yang berlaku seumur hidup dan tidak dapat diganggu gugat oleh
sesiapa pun. Sebagai warga negara yang baik kita mesti menjunjung tinggi nilai
hak asasi manusia tanpa membeza-bezakan status, golongan, keturunan, jabatan,
dan lain sebagainya.
Hak-Hak
Asasi Manusia sebagai satu standard umum keberhasilan untuk semua manusia tidak
mengira bangsa dengan tujuan agar setiap orang dan setiap badan dalam
masyarakat dengan sentiasa mematuhi dan memanfaatkan kelebihan yang ada.
Keadaan ini kerana, hak asasi merupakan satu alternatif kepada manusia untuk
memperolehi keistimewaan dalam pelbagai perkara. Oleh itu, media menjadi
pergantungan manusia dalam menjalankan proses komunikasi dengan lebih berkesan.
Media menjadi penyumbang maklumat yang utama kepada masyarakat melalui pelbagai
bentuk atau cara penyampaian.
Media
telah menjadi penggerak kepada penyebaran maklumat yang mempunyai nilai
kepentingan kepada hak asasi manusia. Media mampu menyajikan pelbagai maklumat
kepada masyarakat secara terbuka sehubungan dengan peristiwa yang berlaku di
sekitarnya. Dalam menjalankan fungsi ini media dituntut untuk berperanan
sebagai pengawas dalam lingkungan masyarakat terutama kepentingan hak asasi
manusia. Justeru itu, dengan adanya peranan media ini masyarakat mendapat
pendidikan dan pengetahuan dalam proses mencapai keadilan dalam kehidupan. Hal
terpenting terkait dengan ini adalah profesionalisme media dalam menjaga
objektif pemberitaan dan etika jurnalisme yang dijalankan.
Kewujudan
pelbagai fahaman politik, agama, etnik dan keturunan menyebabkan kebebasan
asasi di Malaysia lebih bersifat kebebasan yang dikawal dan terbatas. Hal ini
adalah untuk menjamin ketenteraman dan keharmonian masyarakat. Terdapat
sembilan peruntukan hak asasi manusia iaitu Perkara 5. Kebebasan diri, Perkara
6. Keabdian dan kerja paksa dilarang, Perkara 7. Perlindungan daripada
undang-undang jenayah dan perbicaraan berulang, Perkara 8. Sama rata, Perkara
9. Larangan buang negeri dan kebebasan bergerak, Perkara 10. Kebebasan bercakap
berhimpun dan berpersatuan, Perkara 11. Kebebasan beragama, Perkara 12. Hak
terhadap pendidikan dan Perkara 13. Hak terhadap harta. Kebebasan asasi ini
bukan satu konsep kebebasan yang mutlak tetapi ia mempunyai batasan-batasan
untuk mengelakkan kebebasan daripada membawa kepada ketidakstabilan.
Dalam
menjamin kebebasannya, setiap individu wajib menghormati dan mematuhi batas-
batas yang ditetapkan dalam undang-undang hak asasi manusia. Tanggungjawab
negara dalam mempraktikan hak-hak yang ditetapkan dalam kehidupan masyarakat
supaya ianya akan membantu dalam pembangunan negara yang harmoni. Justeru itu,
media turut berperanan dalam memperkenalkan dan memenuhi hak-hak asasi manusia
mengikut peredaran masa yang semakin berkembang pesat ekoran kecanggihan
teknologi. Melalui media, hak-hak asasi manusia turut boleh dipenuhi sebagai
contoh hak dalam mendapat pendidikan.
Media
berperanan untuk melibatkan masyarakat dalam ilmu pengetahuan ini supaya nasib
mereka akan terbela. Pendidikan hak asasi manusia dianggap sebagai sesuatu yang
penting bagi hak setiap kanak-kanak kepada pendidikan yang berkualiti, sesuatu
yang tidak hanya mengajar kemahiran membaca, menulis dan mengira, tetapi juga
memantapkan keupayaan kanak-kanak untuk menikmati hak asasi manusia sepenuhnya
di samping menggalakkan budaya yang menerapkan nilai-nilai hak asasi manusia.
Dalam usaha ini, pihak media membantu dalam mendedahkan info-info berkaitan
pendidikan dengan wujudnya program-program TV berkaitan pembelajaran. Sebagai
contoh program TV yang disediakan seperti program TV pendidikan yang memaparkan
pelbagai isu pembelajaran yang boleh dipelajari dan juga program Tanyalah
Ustaz.
Program
ini bertujuan memberi pendidikan kepada masyarakat di mana mereka mempunyai hak
untuk mendapat pendidikan tidak mengira pangkat dan latarbelakang. Melalui
program ini, ianya telah memberi input yang berguna kepada masyarakat di mana
menuntut ilmu itu adalah penting dalam kehidupan bagi menjalani kehidupan yang
lebih sempurna. Tambahan lagi, hak dalam mendapat pendidikan juga telah
termaktub dalam hak-hak asasi manusia yang g telah diperuntukkan. Selaras
dengan Pelan Tindakan Pendidikan ini dan juga fungsi utama Suruhanjaya untuk
memupuk kesedaran dan menyediakan pendidikan yang berhubungan dengan hak asasi
manusia.
Selain
itu, bukan sahaja media elektronik memainkan peranan bahkan media cetak turut
membantu masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang berguna. Dengan adanya
media, masyarakat memperoleh keupayaan memupuk kesedaran dalam memenuhi hak
sebagai manusia. Hal ini kerana, masyarakat sekarang kurang pengetahuan
mengenai hak-hak yang boleh dituntut sekiranya berlaku apa jua perkara dalam
kehidupan seharian. Justeru itu, dengan adanya penglibatan pihak media dalam
menyebarkan maklumat dapat membantu dan mengurangkan kesulitan hidup masyarakat
daripada ditindas oleh pihak atasan yang berkaitan hak asasi manusia. Keadaan
ini akan memberi kesan kepada masyarakat sendiri di mana maklumat yang
diperoleh akan meningkatkan kesedaran tentang hak mereka yang perlu
dititikberatkan sebagai manusia yang mempunyai keistimewaan dalam menjalani
kehidupan.
Walau
bagaimanapun, dalam usaha media menyampaikan maklumat ini terdapat unsur dan
halangan di mana wujudnya batas dalam mengeluarkan maklumat. Hal ini demikian,
media tidak boleh mengeluarkan sebarang maklumat yang berkaitan hak asasi
manusia tanpa fakta yang tepat bagi mengelakkan berlakunya perselisihan faham
dalam kalangan masyarakat. Keadaan ini kerana, maklumat berkaitan polisi negara
ini dikawal oleh pihak kerajaan bagi mengelakkan penyalahgunaan maklumat. Namun
hanya maklumat yang perlu sahaja akan dihebohkan kepada media mahupun
masyarakat. Oleh itu, media mempunyai batas dalam mengeluarkan isu-isu sensitif
ini terutama berkaitan hak asasi manusia.
Selain
itu, kelemahan jurnalis dalam menyampaikan maklumat melalui penulisan turut
menjadi permasalahan dalam kes ini. Justeru itu, pihak kerajaan mengawal
penyebaran maklumat berkaitan hak asasi manusia. Hal ini kerana hak asasi
manusia hanya diperuntukkan dalam negara ini bertujuan menjaga keistimewaan
masyarakat. Oleh itu, pihak media tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang berita
sekiranya maklumat tersebut tidak diluluskan kejelasannya oleh pihak tertentu.
Keadaan ini adalah untuk menjaga keharmonian dan keamanan negara kita.
Di
samping itu, dalam hak asasi manusia media turut dikenakan sekatan dalam
mengeluarkan kenyataan tentang sesuatu isu. Kebebasan media yang dijamin oleh
Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat adalah kebebasan yang terhad, bersyarat,
mempunyai batas dan mempunyai sekatan. Oleh itu, media tidak boleh
membangkitkan isu yang sensitif terutamaanya isu berkaitan politik. Hal ini
demikian, isu politik mampu menggugat kedudukan pemimpin di mana sekiranya
timbul ketidakpuasan hati dalam kalangan masyarakat terhadap pemimpin. Hal ini
kerana, nilai-nilai sejagat ditiberatkan dalam menjamin hak asasi manusia
dilaksanakan dan dipelihara dengan betul.
Kebebasan
akhbar biasanya dikaitkan dengan kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat.
Pengawalan dan sekatan tersebut dilihat seolah-olah menidakkan kebebasan bersuara
dan seterusnya menafikan hak asasi manusia. Seharusnya sesuatu penulisan akhbar
harus menggambarkan hasrat seluruh rakyat dan bukannya hanya golongan tertentu.
Kesimpulan
Kesimpulannya,
media telah memainkan peranan yang baik dalam menyampaikan maklumat-maklumat
yang penting kepada masyarakat. Usaha pihak media dalam memperjuangkan hak
asasi manusia merupakan satu usaha yang membantu dalam pembangunan negara kita.
Di samping itu, dengan usaha ini juga masyarakat akan lebih sedar tentang hak
mereka dalam kehidupan sebuah negara yang berpelembagaan. Namun begitu, tidak
ramai yang sedar bahawa untuk menulis berita mengenai hak asasi, ianya bukanlah
sesuatu yang mudah. Hal ini kerana, pihak media mempunyai batasan dalam
mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelakkan berlakunya perselisihan faham dalam
kalangan masyarakat. Keadaan ini turut menjadi tanggungjawab kerajaan dalam
mengawal sekatan terhadap pihak media.
Keadaan ini kerana isu hak asasi manusia sentiasa berkaitan dengan imej
sesuatu negara.
0 komen anda :):
Post a Comment