KONSEP KEWARTAWANAN PEMBANGUNAN

Oleh : Saiful Azri Bin Ismail
            Nor Atikah Binti Omar

Gambar hiasan sahaja

Konsep sebenar kewartawanan pembangunan dimana wartawan pembangunan menyampaikan sesuatu maklumat kepada masyarakat dalam mengubah persepsi dari segi sikap, cara, dan tahap pemikiran ke arah yang lebih positif dalam memastikan mereka sentiasa peka dalam arus pembangunan negara dalam melakukan perubahan. Kewartawanan pembangunan ini juga dilihat sebagai penyampai maklumat kepada masyarakat melalui saluran media. Selain itu, melalui laporan dan penulisan seseorang wartawan penting dalam mempengaruhi pandangan atau sikap masyarakat dalam mempercepatkan perubahan sosial dalam kalangan mereka.

Dalam kewartawanan pembangunan ianya juga bertindak sebagai peranan dalam mencetus idea, pemerhati serta pemikir. Sebelum melaporkan sesuatu berita, wartawan pembangunan akan membuat satu analisi tentang sesuatu topik yang mempunyai kepentingan terhadap masyarakat dan dalam hal ini penting dalam membantu meningkatkan lagi tahap pembangunan negara. Hal ini jelas wartawan pembangunan bertindak sebagai agen perubahan dalam memastikan berlakunya perubahan sosial dalam kalangan masyarakat.

Ini menunjukkan bahawa dalam kewartawanan pembangunan ianya tidak semudah yang disangka kerana perlu memikul tangunggjawab sosial yang begitu berat. Setiap maklumat yang disampaikan oleh wartawan pembangunan kepada masyarakat mampu mencorak pemikiran mereka ke satu aras yang lebih positif dan tidak berada di tahap yang sama sahaja. Disamping itu, seseorang wartawan pembangunan dapat membantu dalam meningkatkan tahap pembangunan negara dengan melaporkan aktiviti pembangunan serta dasar kerajaan yang dijalankan. Dengan itu, masyarakat akan lebih jelas tentang keadaan semasa pembangunan negara melalui maklumat yang disalurkan. Kewartawanan pembangunan juga menjadi penggerak utama aspirasi kerajaan dalam menyebarkan agenda negara mengenai kepentingan kepada masyarakat. Tangunggjawab yang dipikul oleh wartawan pembangunan memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan maklumat pembangunan negara melalui liputan yang dibuat serta menjadi tulang belakang kepada penggerak utama kerajaan dalam memastikan dasar-dasar tentang pembangunan yang ingin dibuat kerajaan dapat disampaikan secara jelas kepada masyarakat. .Jelaslah bahawa, kewartawanan yang berkonsepkan kepada menyalurkan sesuatu maklumat yang mempunyai unsur mendidik, membujuk masyarakat penting supaya mereka dapat berfikiran kritis dan terbuka dalam menerima segala aktiviti pembangunan yang dibuat serta cara ini dapat mempercepatkan lagi perubahan sosial dalam kalangan mereka. Setiap maklumat yang disampaikan oleh wartawan pembangunan boleh menimbulkan persoalan yang boleh dibincangkan. Dengan itu, masyarakat akan lebih peka tentang keadaan semasa negara melalui maklumat yang disalurkan. Tanpa maklumat tersebut, masyarakat dan negara tidak akan dapat bergerak ke arah mencapai matlamat dan wawasan negara pada tahun 2020.

Perkembangan kewartawanan di Malaysia

Perkembangan bidang kewartawanan di Malaysia telah banyak berubah seiring dengan perubahan teknologi yang berlaku. Pada awal bidang kewartawanan di Malaysia, kebanyakan wartawan hanya memfokuskan kepada propaganda dalam memperjuangkan untuk mendapatkan hak kemerdekaan. Mereka kebanyakannya menyebarkan penulisan mereka melalui karya kesusateraan dan kemudiannya disebarkan kepada masyarakat. Wartawan pada masa dahulu hanya bersifat tradisional dalam menyampaikan maklumat dalam memberi kesedaran kepada masyarakat misalnya menerapkan unsur hibur secara mendidik dalam penulisan puisi, syair, gurindam dalam menerapkan unsur pengajaran kepada mereka tentang peristiwa yang berlaku pada masa dahulu. Selepas kemerdekaan, dengan berlakunya perkembangan sains dan teknologi, bidang kewartawanan bukan sahaja meliputi media cetak tetapi telah merangkumi media elektronik radio dan televisyen. Secara amnya, bidang kewartawanan selepas kemerdekaan memainkan peranan dalam usaha mengisi makna kemerdekaan dan seterusnya membantu mereka dalam usaha pembangunan. Kegiatan ini dijalankan sejajar dengan fungsi komunikasi yang umumnya bertujuan menyampaikan maklumat, mendidik serta menghibur.

Peranan media massa dalam pembangunan negara

Media massa yang terdiri daripada media elektronik dan media cetak memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara. Media massa dapat menyalurkan pelbagai maklumat dalam mempengaruhi masyarakat pembaca. Jika tiada Media, rakyat tidak akan dapat memperolehi sumber pengetahuan terutama mengenai isu yang bersifat global.

Salah satu peranan media massa ialah sebagai sumber maklumat yang amat penting kepada masyarakat. Media masssa dapat dijadikan alat yang berpengaruh dalam bidang pendidikan, penyebaran  ilmu pengetahuan dan maklumat berkaitan ekonomi serta dalam bidang sukan dapat membantu proses minat membaca kepada masyarakat. Melalui peranan yang dibuat oleh media massa, orang ramai dapat memperoleh pengetahuan mengenai apa-apa jua yang berlaku di dalam dan di luar negara. Sebagai contohnya, bagi seseorang ahli perniagaan, maklumat terkini tentang bidang perniagaan akan dapat membantu mereka dalam membuat perancangan syarikat serta menyusun strategi dalam mengelakkan syarikat mereka daripada mengalami kerugian. Selain itu, maklumat tentang bidang ilmu pengetahuan seterusnya dapat mendedahkan masyarakat kepada pemikiran baru dan membuka minda seseorang. Jelaslah bahawa peranan media massa sangat penting dalam membantu mereka dalam membuat sesuatu perkara yang ingin dilakukan.

Peranan lain media massa juga berperanan sebagai agen pembangunan dan perpaduan negara. Dengan adanya media massa, pengetahuan asas budaya, bahasa, dan adat resam pelbagai etnik dapat disebarkan. Contohnya, melalui aktiviti kebudayaan seperti tarian, lagu dan cara hidup sama ada masyarakat tempatan atau masyarakat asing, seseorang itu dapat menyelami dan memahami unsur kebudayaan sesuatu kaum. Ini secara tidak langsung dapat menyemai semangat perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Semangat bersatu padu dan saling menghormati dapat mewujudkan keharmonian kepada masyarakat.

Media massa juga bertanggungjawab sebagai alat menghubungkan kerajaan dengan masyarakat. Hubungan yang baik antara pemerintah dengan rakyatnya perlu diwujudkan untuk memudahkan pembangunan. Misalnya, media massa boleh menyiarkan dasar-dasar kerajaaan seperti menjelaskan Rancangan Malaysia yang dibuat dan juga dapat memperjelaskan Bajet 2016 yang dibentangkan oleh kerajaan pada baru-baru ini supaya rakyat dapat memahami dan menerima serta bersikap terbuka tentang dasar yang dibuat oleh kerajaan dalam meningkatkan tahap pembangunan negara. Oleh itu, kerajaan yang cekap dan telus perlu dalam memastikan pelaksanakan dalam setiap aktiviti pembangunan dapat dilakukan secara berterusan. Melalui media massa juga rakyat dapat memberikan reaksi dengan mengemukakan pandangan  mereka dan ini menunjukkan bahawa wujudnya pertukaran maklumat antara kerajaan dengan masyarakat.

Falsafah kewartawanan pembangunan

Untuk elemen falsafah kewartawanan pembangunan pula, falsafah boleh dikatakan sebagai pegangan yang diamalkan oleh seseorang wartawan dimana ia berkaitan dengan tugas-tugas yang menjurus kepada perkara yang positif. Menurut Schramm seseorang wartawan haruslah membuat sesuatu berita dan ulasan, beritanya diwarnai motif-motif tertentu menjadi pembentukan bangsa, menyatukan rakyat yang berbilang kaum dalam satu masalah dan yang terakhir ialah kepentingan nasional secara bersama.

Falsafah dalam kewartawanan pembangunan merupakan satu jalan kepada masyarakat yang agak ketinggalan dan tercicir dalam berita yang terjadi di seluruh dunia khususnya. Oleh hal yang demikian, kewartawanan pembangunan dilihat sebagai satu yang boleh dimainkan perananya dengan sangat baik. Oleh itu, masyarakat yang agak ketinggalan dan tercicir seharusnya mendapat perhatian daripada kewartawanan pembangunan untuk mengubah sedikit demi sedikit tentang kehidupan dan persekitaran mereka.

Di samping itu juga, agen perubahan kewartawanan pembangunan mempunyai peranan dan berfungsi dalam Hal Ehwal Komuniti. Mereka juga sepatutnya memiliki kemahiran interpesonal yang baik untuk menyampaikan mesej dan maklumat dengan berkesan kepada masyarakat yang terpinggir dan seterusnya melibatkan diri secara langsung sesuatu masyarakat berkenaan. Oleh itu, segala persepsi dan tanggapan yang tidak baik kepada agen perubahan dapat diatasi dengan bijaksana.

Seterusnya, falsafah kewartawanan pembangunan juga menitikberatkan tentang soal tugas dan peranan dalam menyebarkan dan menyampaikan maklumat kepada semua golongan masyarakat dengan menggunakan segala jenis media yang ada sekarang khususnya sosial media dan media elektronik. Menurut Dr. Damardjati Supedjar mejelaskan tugas kewartawanan pada dasarnya adalah “Belayar pada layar kesedaran sehingga hasilnya dapat memberi manfaat bagi pembangunan masyarakat”.

Hal ini demikian kerana, perkara ini sangat penting bagi seorang agen perubahan atau wartawan pembangunan kerana sudah sememangnya tugas mereka untuk memberikan faedah dan manfaat kepada semua jenis lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, jantina, pangkat dan sebagainya. Perkara asas dan utama bagi seseorang agen perubahan itu adalah untuk menyampaikan maklumat dan seterusnya memberikan satu transformasi baharu dan perubahan dalam kehidupan sesuatu komuniti masyarakat ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.

Peranan agen perubahan

Seperti yang kita tahu, pekerjaan sebagai seorang wartawan biasa atau wartawan pembangunan mempunyai banyak persepsi dan tanggapan negatif yang diberikan oleh masyarakat. Dan ada juga segelintir masyarakat yang sememangnya membuat senarai hitam mengenai pekerjaan ini kerana menganggap ianya sebagai pekerjaan dan kerjaya yang tidak menghormati privasi orang lain, memutar belitkan fakta atau cerita dan menyebarkan berita palsu demi untuk kepentingan sesetengah pihak.

Walaubagaimanapun, jika dilihat semula mengenai peranan yang yang dimainkan oleh wartawan dalam media massa, elektronik, media sosial dan lain- lain, peranan mereka tidak dapat dinafikan lagi untuk pembangunan dan perubahan dalam masyarakat. Menurut pengamal media terkemuka, Datuk A Kadir Jasin, berkata wartawan adalah ejen menyampai maklumat kepada masyarakat. Sejajar perkembangan teknologi moden, media baru mula mendapat tempat dalam pemikiran masyarakat masa kini. Tambah beliau lagi, kemunculan media baru dan media sosial adalah merupakan saingan hebat kepada media cetak.

Hal ini demikian kerana, media baru bertunjangkan internet. Sebagai contohnya, akhbar dalam talian, laman web sosial seperti facebook, youtube dan twitter yang kini menjadi sebahagian besar kepada sumber maklumat yang diakses oleh segenap lapisan masyarakat sekarang. Sosial media sememangnya menjadi satu tarikan dan fokus kepada masyarakat kini untuk mendapatkan maklumat dari seluruh negara. Oleh sebab itu, keadaan dan situasi ini memberi saingan yang sangat hebat kepada media tradisional iaitu media cetak dan secara tidak langsung menyebabkan minat terhadap medium berkenaan semakin merosot dan teruk.

Namun demikian, media cetak dan media elektronik yang masih menjadi pilihan pengguna adalah media hiburan seperti majalah hiburan dan surat khabar. Senario ataupun keadaan ini sekaligus telah menyebabkan generasi muda menjadi malas untuk membaca, berfikir dan membuat analisis tentang sesuatu maklumat yang diperolehi serta bergantung kepada teknologi semata-mata ibarat disuap dan menjadi penerima yang pasif. Oleh sebab itu, sebagai wartawan pembangunan mereka seharusnya peka dan aktif dengan isu yang dibangkitkan oleh masyarakat kerana ingin mengelakkan tanggapan dan persepsi negatif masyarakat dari terus berlaku.

Prinsip kewartawanan pembangunan

Kewartawanan pembangunan untuk perubahan sosial dan pembangunan negara. Namun jika dilihat, kewartawanan pembangunan mempunyai peranan dan tanggungjawab yang tertentu dalam soal rancangan pembangunan negara kita. Oleh sebab itu, dalam hal ini kadang kala rakyat banyak mempertikaikan tentang bagaimana wartawan pembangunan menjalankan tugas mereka sama ada dengan baik ataupun tidak. Malahan selain itu juga, tugas wartawan pembangunan juga adalah untuk memberitahu dan menekankan kepada khalayak supaya melibatkan diri dengan segala banyak program yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia untuk pembangunan masyarakat dan negara.

Selain itu juga, wartawan pembangunan mesti mempunyai sifat dua hala, dinamik dan saling cepat bertindak tentang sesuatu isu. Hal ini demikian kerana, perkara ini bagi memudahkan proses penyampaian maklumat dilakukan dengan baik dengan adanya kemahiran komunikasi interpersonal yang berlaku antara antara semua jenis golongan masyarakat sama ada atas atau bawahan.

Di samping itu juga, mereka juga mesti bersifat dinamik iaitu sentiasa berterusan menyampaikan maklumat dari semasa ke semasa kepada semua khalayak. Wartawan pembangunan juga sememangnya perlu peka dan prihatin terhadap isu- isu yang menjadi bualan masyarakat dan juga cuba untuk menyelesaikan masalah di antara kekeliruan yang terjadi akibat salah informasi atau maklumat.

Seterusnya, tugas atau prinsip seorang wartawan pembangunan juga perlu untuk  mendapatkan penyertaan atau penglibatan khalayak dalam mengenalpasti masalah, menganalisis sesuatu maklumat yang diperolehi, penyelesaian pilihan dan kesannya. Malahan itu juga, sebagai wartawan mereka seharusnya mempunyai nilai-nilai yang positif dan murni yang menjadi rujukan dan inspirasi kepada masyarakat kerana mereka merupakan orang tengah yang akan menyampaikan maklumat bagi masyarakat untuk mendapatkan sesuatu berita yang diingini. Namun begitu, sekiranya boleh dielakkan juga mengenai ketirisan maklumat yang tidak tepat boleh mengakibatkan kemarahan kepada masyarakat. Oleh itu, wartawan seharusnya cuba untuk memberikan maklumat yang tepat bagi mengelakkan kekeliruan berlaku dan seterusnya bertukar menjadi konflik. Sebelum menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh khalayak wartawan juga mesti mempunyai pemikiran yang kritis dalam menilai masalah yang dihadapi oleh khalayak tersebut dan mempunyai daya pemikiran yang hebat untuk persediaan bagi menjawab segala persoalan yang bakal timbul. Hal ini membolehkan segala tindakan yang dilakukan merupakan tindakan yang terbaik.

Sebagai kesimpulannya, konsep dan falsafah kewartawanan pembangunan adalah lebih bertumpu dan memfokuskan kepada tugas dan tanggungjawab sebagai wartawan pembagunan dalam menguruskan hal-hal pembangunan komuniti masyarakat demi pembangunan dan perubahan masyarakat demi kemajuan negara. Oleh itu, bahawa wartawan pembangunan merupakan orang penting dalam pembangunan negara kerana dengan adanya wartawan pembangunan mereka dapat menyampaikan maklumat daripada pihak atasan kepada khalayak bawahan dan mereka juga merupakan orang yang akan menulis berita-berita yang mempunyai kaitan dengan pembangunan masyarakat. Jika dilihat di sekeliling kita pada masa kini sememangnya sangat ramai yang menjadi wartawan rakyat, tetapi bukan wartawan pembangunan.



Share on Google Plus

About Ekspresi 18

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment

0 komen anda :):

Journalism for Social Change

UCAPAN PEMBENTANGAN BAJET 2016