TEKUN Penuhi Harapan Usahawan Bumiputera

Dana RM600 juta untuk pembangunan dan kebajikan usahawan

Oleh : Haizum Nadhirah Binti Md Yusoff


 Sumbangan Tekun Meringan Beban Pinjaman Rakyat


Bajet 2016 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini memberi harapan dan sinar baru kepada usahawan khususnya kelompok bumiputera. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), Datuk Dzulkifli Fadzilah sebanyak RM600 juta diberikan kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) untuk memastikan faedah kepada pengeksport tempatan menjana perolehan lebih tinggi.

TEKUN Nasional dahulunya dikenali sebagai Yayasan Tekun Nasional merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi kini bernaung di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Perbadanan ini berperanan menggalakkan bumiputera menceburi dan memajukan perniagaan masing-masing dengan pembiayaan secara mudah dan cepat.

Bajet yang diberikan kepada TEKUN Nasional pada 2016 meningkat berbanding tahun 2015 sebanyak RM350 juta sahaja. Sebanyak RM500 juta diperuntukan untuk usahawan bumiputera dan RM100 juta untuk 10,000 usahawan India pada bajet kali ini. Bajet ini bertepatan dengan tema mensejahterakan kehidupan rakyat.

Menurut Perdana Menteri, Bajet 2016 akan mendorong pembangunan dalam mempelbagai program dan skim yang mampu meningkatkan keupayaan usahawan bumiputera khususnya di luar bandar. Hal ini sejajar dengan objektif penubuhan TEKUN Nasional untuk memastikan usahawan berdaya usaha, inovatif, progresif serta mencipta jaringan perniagaan yang efektif.

Justeru itu, dalam memastikan keperluan usahawan dipenuhi, beberapa agenda telah dirancang TEKUN Nasional bagi memastikan terdapat peluang-peluang baharu untuk menarik golongan belia menceburi bidang keusahawanan. Antara yang diusahakan TEKUN Nasional dalam memastikan matlamat Bajet 2016 dikecapi adalah dengan mewujudkan beberapa program berterusan seperti Skim Pembiayaan Ekonomi Desa, Pusat dan Program Rural Business Challenge (RBC).

Menurut Datuk Dzulkifli Fadzilah, Bajet 2016 juga memberi nafas baru untuk usahawan luar bandar dengan mewujudkan lebih banyak peluang penyertaan di bawah Program Pembangunan Perusahaan Luar Bandar (PPLP) yang dianjurkan khusus untuk memberikan kursus, latihan dan khidmat bimbingan kepada usahawan bumiputera luar bandar yang berpotensi.

Selain itu, Skim Pembiayaan Ekonomi Desa turut diperhebatkan untuk meningkatkan penglibatan usahawan bumiputera luar bandar agar berdaya maju, berdaya saing, meningkatkan tahap ekonomi luar bandar, mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) selaras dengan kehendak kerajaan untuk memastikan tiada pembaziran kewangan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri juga berkata, peruntukan yang diberikan itu membantu isi rumah yang dalam kelompok B40. Beliau juga menjelaskan bahawa Bajet 2016 akan memperluaskan program eRezeki dan eUsahawan yang membantu meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan isi rumah B40.

Selain itu, demi memastikan peningkatan arus pembangunan luar bandar sektor pendidikan turut diberi penekanan lebih-lebih lagi untuk melahirkan usahawan intelektual.

“Saya berasa bersyukur  kerana kepentingan bumiputera tetap terjaga dan terpelihara bukan sahaja  dalam bidang keusahawanan namun sektor pendidikan juga dititik beratkan apabila sebanyak RM3.7 bilion diperuntukan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menaja pengajian seramai 72,000 pelajar termasuk di peringkat pendidikan tinggi”, ulas Ahli Parlimen Kerteh, Tan Sri Annuar Musa menyokong usaha kerajaan.

Bagi meningkatkan penyertaan golongan belia, pihak Kementerian Industri dan Asas Tani turut memperkenalkan Program Rural Business Challenge (RBC. Program ini bertujuan melahirkan usahawan daripada kalangan belia melalui pertandingan rancangan perniagaan. Pemenang untuk perlaksanaan program ini akan mendapat hadiah berupa geran perniagaan dalam bentuk in kind atau prasarana, mesin, peralatan, dan modal kerja. Program ini bertepatan dengan inisiatif kerajaan untuk melahirkan usahawan luar bandar yang bukan sahaja kretif malah optimis.

Justeru, usaha TEKUN Nasional dalam memastikan pembangunan usahawan luar bandar lebih-lebih lagi kepada Bumiputera amatlah besar. Selain itu terdapat program lain seperti Pelan Induk Pembangunan Orang Asli, Program Lonjakan Mega Luar Bandar (PLMLB), Model Baru Ekonomi Luar Bandar dan Government Transformation Programme (GTP) turut diperkenalkan bagi memastikan Bajet 2016 tidak mengalir secara membazir.
          
 Usahawan luar bandar haruslah mengorak langkah dengan kemas dan berani bagi meneroka dunia pasaran dengan mengeluarkan produk bertaraf dunia hasil daripada program yang dianjurkan oleh badan kerajaan mahupun TEKUN Nasional. Walaupun terdapat krisis kewangan dunia dan perlaksanaan Government Services Tax (GST), Perdana Menteri menegaskan bahawa kerajaan sentiasa berusaha untuk membuat kebaikan dan kebajikan kepada rakyat dengan bersungguh-sungguh tanpa kompromi.

“Saya berasa kesal kerana terdapat pihak yang membolak-balik perjuangan kerajaan sehingga merosakan imej negara. Perbuatan segelintir pihak ini akan memporak-perandakan keamanan dan kesejahteraan negara kerana sudah menjadi adat perjuangan, pasti merempuh rintangan dan dugaan namun biarpun berjuta gugatan menghalang, biar menggunung ombak mendatang kerajaan tidak akan sesekali berputus asa”, tegas Perdana Menteri.

Di samping latihan-latihan pembangunan keusahawanan, terdapat juga beberapa kaedah dalam memastikan usahawan luar bandar sedar tentang kepentingan dalam meningkatkan strategi ekonomi pemasaran. Penggunaan aplikasi media seperti Facebook dan online marketing akan membantu memperluaskan sesuatu produk. Selain itu, pasar raya mini di bandar-bandar besar. juga boleh diusahakan demi mempromosikan produk usahawan luar bandar.


Justeru itu, rakyat disarankan mengambil peluang kenaikan Bajet 2016 ini sebagai batu loncatan dalam menjana pendapatan ekonomi negara. Usaha kerajaan dalam mensejahterakan kehidupan rakyat harus disambut baik oleh semua pihak demi memastikan kejayaan negara dalam menuju Wawasan 2020. 
Share on Google Plus

About Ekspresi 18

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment

0 komen anda :):

Journalism for Social Change

UCAPAN PEMBENTANGAN BAJET 2016